My Add

Monday 27 February 2012

Pemilik, pewaris tidak diketepikan

Oleh THOMAS CHONG dan NAZMIL NASIRUDDIN

PUTRAJAYA, AHAD, 26 Februari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi yang mengetepikan kepentingan pemilik dan pewaris tanah dalam pembangunan semula Kampung Baru di ibu negara.

Berikutan itu, Muhyiddin berkata, siri perbincangan dan pertemuan yang intensif telah dan akan terus dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dengan para pemilik dan pewaris tanah.

Beliau berkata, adalah menjadi agenda utama kerajaan dalam mentransformasikan kedudukan dan identiti Kampung Baru yang berkait rapat dengan martabat, sejarah dan jati diri orang Melayu.

''Selaras dengan wujudnya Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011, saya dimaklumkan bahawa pasukan interim yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 telah ditubuhkan bagi mengambil langkah-langkah awal penubuhan PPKB.

''Saya menyeru semua pihak terbabit untuk bekerjasama secara erat serta memberi komitmen yang ikhlas bagi menjayakan pelaksanaan pembangunan Kampung Baru," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 di sini hari ini.

Sempena majlis tersebut, Muhyiddin telah menyerahkan sumbangan wang tunai bernilai RM100 seorang kepada 1,000 warga Wilayah Persekutuan yang kurang bernasib baik serta menghadiri jamuan makan bersama rakyat di Presint 2, di sini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan pada masa yang sama akan mengambil kira kepentingan 1,578 peniaga sedia ada di Pasar Raja Bot ketika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pembangunan semula di situ.

''Langkah ini adalah penting bagi menjamin pembangunan semula ini memberi keuntungan yang maksimum kepada para peniaga dan juga mendatangkan faedah yang besar kepada warga kota.

''Saya amat berharap Pasar Raja Bot akan menjadi ikon yang unik serta menjadi khazanah warisan yang hidup untuk pelancong asing," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin mengajak semua warga Wilayah Persekutuan bersatu hati dan berusaha lebih gigih bagi memastikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjuarai semua program yang digariskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau pada masa yang sama mengingatkan warga Wilayah Persekutuan bahawa keharmonian yang wujud hari ini bukannya dinikmati dengan jalan mudah tetapi berasaskan usaha untuk memupuk kesefahaman, toleransi dan penghayatan seluruh rakyat.

''Justeru jangan kita leka dan mengambil mudah, sebaliknya kita perlu terus bertekad untuk memantapkan Malaysia sebagai negara yang bersatu padu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment