My Add

Thursday 23 February 2012

Polis tumpas kegiatan edar dadah, empat lelaki ditahan

JOHOR BAHARU, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dipercayai jenis heroin dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan dan dua rakyat Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di tepi jalan di hadapan Plaza Kota Tinggi, semalam. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kesemua mereka yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona itu ditahan kira-kira jam 8.20 malam di tepi Jalan Niaga 2, selepas polis bertindak atas satu maklumat.

"Semasa ditahan, keempat-empat mereka berada di luar kereta dengan salah seorangnya memegang satu beg plastik putih mengandungi lima bungkusan kertas akhbar. Pemeriksaan kemudian mendapati, terdapat satu bungkusan plastik lutsinar yang berisi serbuk dan ketulan berwarna coklat yang disyaki heroin di dalam setiap bungkusan terbabit," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, susulan penahanan mereka yang berumur 26 hingga 40 tahun itu, polis kemudian membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang dan merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dilaporkan hilang pada Oktober 2010, di Jalan Wong Ah Fook, Johor Baharu. 

Beliau berkata, kesemua dadah dipercayai heroin seberat 2.31 kilogram itu dianggarkan bernilai RM100,000 dan dipercayai untuk dipasarkan ke sekitar daerah Kota Tinggi, Mersing dan Johor Baharu. 

“Ujian air kencing terhadap kesemua lelaki berkenaan mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment