My Add

Thursday 23 February 2012

Tajudin gagal tangguh prosiding kes saman tuntutan balas

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Bekas Pengerusi Eksekutif Malaysian Airline System Bhd (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli, hari ini gagal menangguhkan prosiding permohonan kerajaan untuk membatalkan kes saman tuntutan balasnya terhadap MAS dan dua anak syarikatnya. 

Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop membuat keputusan di dalam kamar di sini dengan dihadiri peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin, S M Shanmugam mewakili MAS manakala Lailawati Ali bagi pihak kerajaan Malaysia.
Isnin depan, Rosilah akan mendengar permohonan kerajaan Malaysia bagi membatalkan tuntutan balas Tajudin.

Pada 4 Ogos 2010, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan balas tersebut dengan menyifatkan ianya (tuntutan balas) bersifat skandal, menyusahkan, remeh-temeh dan menyalah guna proses mahkamah. 

Saman utama dalam kes itu membabitkan MAS dan dua syarikat berkaitannya, MAS Golden Holidays Sdn Bhd dan MAS Hotels & Boutiques Sdn Bhd selaku pihak plaintif yang memfailkan tindakan tersebut pada 2006 terhadap Tajudin dan empat defendan yang lain iaitu syarikat Naluri Corporation Bhd, Promet (Langkawi) Resorts Sdn Bhd, Kauthar Venture Capital Sdn Bhd dan Pakatan Permai Sdn Bhd. 

MAS dalam saman itu antara lain mendakwa, pihak defendan telah melanggar 
kewajipan fidusiari (pemegang amanah) namun Tajudin yang berkhidmat di MAS antara 1994 hingga 2001 menafikan dakwaan tersebut.

Tajudin pula bersama Promet Resort dan Kauthar Venture Capital telah memfailkan tuntutan balas dengan menamakan MAS dan dua syarikat berkaitan dengannya serta 13 pengarah MAS dan kerajaan masing-masing sebagai defendan-defendan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment