My Add

Thursday 9 February 2012

Sindiket guna wanita tempatan tukang rekrut keldai dadah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan tidak lagi bertindak bersendirian untuk merekrut wanita-wanita untuk dijadikan keldai dadah sebaliknya mengupah wanita warga tempatan untuk tujuan itu.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim yang berkata, taktik itu digunakan kerana mangsa lebih percaya dengan wanita tempatan.

Katanya, siasatan pihaknya turut mendapati wanita atau tukang rekrut itu sendiri pernah berpengalaman sebagai keldai dadah dan berjaya menjalankan 'misi' dengan kembali ke Malaysia dengan selamat.

"Berdasarkan pengalaman itu, wanita berkenaan ditugaskan mencari mangsa-mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan wanita yang bermasalah seperti ibu tunggal, hidup susah atau mempunyai masalah keluarga.

"Kita juga percaya, sebahagian besar wanita yang menjadi mangsa sebenarnya tahu mereka ditipu tetapi atas desakan wang, mereka tetap menanggung risiko membawa dadah ke luar negara," katanya pada sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Tambah Noor Rashid, sepanjang tahun lalu, keldai dadah tempatan dikesan paling banyak ditahan di China dan Indonesia iaitu masing-masing sebanyak 13 kes.

Ujarnya, selain itu, 10 orang telah ditahan di New Zealand, Thailand (lima), Singapura (tiga) dan masing-masing satu orang di Argentina, Belanda, Australia, Macau dan Pakistan.

"Sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 76 rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan dadah di beberapa negara dengan 49 daripada mereka merupakan keldai dadah. Separuh daripada itu adalah wanita," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment