My Add

Monday 27 February 2012

Status jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikaji: PM

PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Februari, 2012:: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menjadikan status jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah jawatan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana pelantikan jawatan Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan hakim. 

Perdana Menteri berkata, ia adalah antara perkara yang sedang dikaji, khusus bagi memastikan kebebasan dan ketelusan suruhanjaya itu.

Katanya, beliau juga bersetuju dengan pandangan Lembaga Penasihat SPRM supaya satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah yang mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat anggota SPRM diwujudkan, bagi memperlihatkan kebebasan badan itu.

"Tapi perkara ini memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan. Insya-Allah sekiranya Barisan Nasional diberi mandat dua pertiga dalam pilihan raya akan datang, pindaan Perlembagaan sewajarnya akan dibuat dan Suruhanjaya Perkhidmatan ini akan dibentuk," katanya semasa berucap merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, petang ini. 

Najib berkata, ketika ini semua proses pelantikan dan pemecatan pegawai SPRM dibuat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan dengan wujudnya Suruhanjaya Perkhidmatan itu nanti, ia akan dapat menapis, menemuduga, melantik dan memecat anggota-anggotanya sendiri. 

Katanya, SPRM amat memerlukan sebuah badan khusus dalam pemilihan anggota, berdasarkan kualiti dan kredibiliti calon bagi melaksanakan tugas yang memerlukan kepakaran tertentu. 

"Jika ia dapat dilaksanakan, maka ramai golongan profesional negara yang ingin berkhidmat dengan SPRM akan dapat berbuat demikian secara lebih mudah dan efisien," katanya.

Merujuk kepada beban tugas pula, Perdana Menteri berkata kerajaan faham dan memandang serius kekangan dan kekurangan yang dihadapi SPRM, khususnya dalam aspek keanggotaan serta bajet. 

Najib berkata, perkara itu juga dibangkitkan oleh Lembaga Penasihat SPRM dalam pertemuan dengannya. 

Katanya, pada 2008 keanggotaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) adalah seramai 1,840 tetapi apabila SPRM ditubuhkan keanggotaan pegawainya menyaksikan penurunan kepada 1,805 anggota pada Julai tahun lalu. 

"Dengan jumlah keanggotaan yang terhad, bagaimana mungkin SPRM boleh menjalankan tugas secara berkesan, tambahan pula bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta SPRM 2009 adalah lebih luas berbanding Akta sebelumnya iaitu Akta Pencegahan Rasuah yang diguna pakai sebelum penubuhan SPRM," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment