My Add

Sunday 5 February 2012

Syor PIBG dibawa kepada PM


MUHYIDDIN Yassin membakar sate dan beramah mesra bersama pemilik gerai sate, Maznani Ahmad (empat dari kiri) pada Program Mesra Bersama Rakyat di Tapak Pasar Malam Taman Medan, Petaling Jaya, semalam.

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

SHAH ALAM 05 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa cadangan salah seorang wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini iaitu supaya kerajaan memberi pengecualian cukai kepada syarikat korporat atau individu yang menyumbang dana kepada persatuan tersebut di sekolah-sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, secara peribadinya beliau bersetuju agar cadangan itu dapat dilaksanakan kerana dengan cara ini sedikit-sebanyak dapat menggalakkan syarikat korporat turut sama menyumbang dana kepada tabung PIBG untuk dimanfaatkan pihak sekolah.

Beliau berkata, cadangan tersebut akan dikemukakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Saya bersetuju agar mana-mana individu mahupun syarikat korporat yang menyumbang dana kepada tabung PIBG diberi pengecualian cukai oleh kerajaan kerana ia mampu memberi penjimatan dari segi perbelanjaan kepada pihak kerajaan.

“Bagaimanapun, ia hanyalah cadangan saya tetapi ia semuanya terpulang kepada Perdana Menteri yang merupakan Menteri Kewangan untuk mempertimbangkannya kerana saya tidak ada kuasa untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program TPM Bertemu Warga Pendidik, PIBG dan Pengelola Sekolah Seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Cadangan itu timbul apabila salah seorang daripada wakil PIBG yang mencadangkannya kepada Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Pelajaran dalam satu sesi dialog mengenai sistem pendidikan negara.

Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan berjumlah RM9.2 juta kepada tabung PIBG di seluruh sekolah dan sekolah agama rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menyeru supaya PIBG lebih komited dalam membantu meningkatkan prestasi persekolahan di negeri ini.

Muhyiddin memberi contoh, ketika lawatannya ke sebuah sekolah di Australia sebelum ini, beliau kagum apabila melihat ibu bapa pelajar melakukan kerja-kerja secara sukarela termasuk ada yang menjadi pembantu jurulatih kepada aktiviti sukan di sekolah tersebut.

“PIBG berperanan dalam memberi komitmen yang lebih bagi memastikan prestasi sekolah terus meningkat dari tahun ke tahun dan ini telah terbukti apabila prestasi peperiksaan di negeri Selangor meningkat pada 2011 berbanding 2010. Saya percaya ia sedikit-sebanyak adalah hasil usaha PIBG di negeri ini yang begitu komited,” jelasnya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment