My Add

Monday 27 February 2012

Teliti semula cadangan bina jirat Cina di Karangan

KULIM, ISNIN, 27 Febebruari, 2012: Kerajaan negeri diminta supaya meneliti semula cadangan pembinaan jirat Cina di Karangan dekat sini berikutan tanah itu asalnya merupakan kawasan dusun selain majoriti penduduk sekitarnya adalah masyarakat Melayu.

Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Kedah, Datuk Mohd Hadzir Ismail berkata, cadangan membina jirat di kawasan yang majoritinya Melayu sudah pasti mendapat bantahan.

"Sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku adalah lebih baik pihak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menasihati pemilik tanah yang berhasrat membina jirat Cina eksklusif itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau mencadangkan supaya tanah itu dibangunkan seperti kawasan perumahan memandangkan Pekan Sungai Kob dan sekitarnya merupakan kawasan berpotensi untuk dijadikan kawasan pembangunan komersial.

Mohd Hadzir berkata, beliau terpanggil untuk membuat cadangan tersebut ekoran beberapa panggilan telefon yang diterimanya supaya berbuat sesuatu mengenai isu yang kini hangat diperkatakan penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Pada 17 Februari lepas, berlaku demonstrasi oleh sekumpulan 500 penduduk dan badan bukan kerajaan sebagai membantah cadangan pemilik tanah swasta seluas 76.4 hektar berdekatan kampung Melayu di Karangan itu untuk membina jirat. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment