My Add

Monday 27 February 2012

Tujuh sekeluarga dihimpit kemiskinan

TANAH MERAH, AHAD, 26 Februari, 2012: Sepasang suami isteri dan lima anak mereka di Kampung Batu 4 dekat sini, hidup dalam serba kekurangan akibat dihimpit kemiskinan.

Lebih menyedihkan, Normawati Che Mat, 32, suami, Muhasim Ismail, 38, dan anak-anak mereka berusia antara setahun dan 14 tahun, terpaksa menetap di rumah usang yang kerap bocor apabila hujan.

Impian mereka untuk memiliki rumah lebih selesa sehingga kini tidak kesampaian berikutan kesempitan hidup, sehingga terpaksa tinggal di rumah separuh siap sejak lebih 10 tahun lalu.

Normawati berkata, pendapatan suaminya yang bekerja di kilang papan tidak mampu menampung kos hidup mereka sekeluarga dan persekolahan tiga orang anaknya.

Jelas suri rumah itu, mereka sebelum ini tinggal di Pulau Pinang dan suaminya bekerja sebagai pemandu, tetapi kembali ke sini berikutan tidak mampu menampung kos hidup yang tinggi di negeri berkenaan.

Katanya, dia dan suami berhasrat untuk mengubahsuai rumahnya kerana kerap bocor dan semakin usang, namun, tidak mempunyai sumber kewangan.

"Kami hanya boleh tidur di kawasan dapur kerana bahagian tengah rumah yang belum siap dibaiki sepenuhnya kerap bocor menyebabkan barangan dan pakaian sering basah dan rosak," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Normawati berharap, ada pihak sudi membantu dia sekeluarga membaiki rumahnya bagi membolehkan anak-anaknya menikmati kehidupan lebih baik.

"Dengan bilangan keluarga agak besar, gaji diperoleh suami saya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan dan persekolahan anak-anak yang semakin membesar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment