My Add

Sunday 1 June 2014

DNA babi: Keputusan sampel dua coklat Cadbury Rabu ini

KUALA LUMPUR, AHAD 01 Jun, 2014: Keputusan sama ada dua produk coklat Cadbury mengandungi asid deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) atau sebaliknya akan diketahui selewat-lewatnya Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan itu akan diketahui selepas makmal di Ibu Pejabat Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya menjalankan kajian terhadap sampel coklat berkenaan yang diserahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.

Menurut beliau, langkah tersebut dijalankan memandangkan makmal tersebut mempunyai akreditasi dan infrastruktur dalam menentukan kesahihan kewujudan kandungan DNA babi dalam sesuatu produk.

Jelasnya, kajian di makmal tersebut akan memfokuskan terhadap penggunaan sampel berwibawa yang diambil terus dari kilang syarikat berkenaan yang tidak tercemar daripada mana-mana sudut.

"Keputusan adalah melalui mesin atau makmal yang telah diberi akreditasi iaitu hanya makmal kimia di Petaling Jaya. Yang menjadi perbincangan kini adalah kita kena mengambil sampel-sampel yang dibawa, adakah sampel itu dibawa dari kilang, kedai atau badan perseorangan.

"Kedua, dalam mengambil kira makmal (selain di Petaling Jaya) untuk membuat keputusan, apakah makmal itu mempunyai kuasa iaitu akreditasi yang boleh menjadikannya badan berkredibiliti dan mampu mengakui perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ijtimak Ahlul Sunnah Wal Jamaah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Bangi hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment