My Add

Sunday, 22 June 2014

Diwarnai kekecohan, pergaduhan

Oleh ABDUL YAZID ALIAS dan ZULKIFLI SAINUDDIN

 * S. Manikavasagam (dua dari kiri) ditenangkan oleh ahli parti selepas berlaku kekecohan semasa Pemilihan Semula PKR cabang itu di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Selangor, semalam. - MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
KUALA SELANGOR, SABTU 21 Jun, 2014: Pemilihan semula Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor kecoh apabila calon ketua cabang itu bertikam lidah dengan seorang individu dipercayai penyokong kem Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika proses pemilihan berlangsung kira-kira pukul 1.35 petang ini, calon ketua cabang berkenaan, S.Manikavasagam difahamkan menegur tindakan individu berkenaan yang didakwa cuba berkempen di pintu masuk pusat pendaftaran undi di perkarangan Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Bagaimanapun, teguran Manivasagam itu dibalas oleh individu terbabit sehingga tercetus perang mulut sehingga terpaksa dileraikan oleh para penyokong serta anggota jawatankuasa pemilihan parti.

Manikavasagam ketika ditanya mengenai kejadian tersebut menyifatkan ia cuma salah faham yang dikatakan berpunca daripada orang luar yang cuba berkempen.

"Tidak ada (gaduh), cuma salah salah faham sikit-sikit sahaja. Ada orang tukar-tukar chai (risalah nombor calon)...orang luar. Saya akan buat aduan kepada PKR Pusat," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses mengundi kira-kira pukul 3.20 petang ini.

Sebelum itu, Manikavasagam enggan memberikan ulasan mengenai kejadian tersebut atas alasan tidak mahu dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR memandangkan beliau pada 15 Mei lalu pernah digantung keahlian sebelum ditarik balik oleh jawatankuasa berkenaan pada 11 Jun lalu.

Tindakan ke atas Manikavasagam dibuat susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Kapar itu menerusi media yang mendakwa pencabarnya, Abdul Khalid terbabit dalam politik wang dalam pemilihan pertama PKR Cabang Kuala Selangor pada 11 Mei lalu.

Manikavasagam menerusi laporan sebuah portal berita, antarapos.com hari ini bagaimanapun mendakwa masih wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Memetik laporan portal itu, Manikavasagam berkata, beliau difahamkan terdapat satu acara keramaian diadakan di Kolej Inpens bagi menjamu ahli-ahli parti sebelum mereka dibawa ke tempat mengundi di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini.

"Dari awal saya dah cakap saya bantah rasuah, tapi hari ini saya kecewa kerana masih ada lagi berlaku rasuah tetapi apa pun saya akan laporkan kepada biro politik dan kita akan serah kepada JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) atau jawatankuasa disiplin parti," kata Manikavasagam.

Sementara itu, pemilihan PKR Cabang Kuala Langat di Dewan Orang Ramai Taman Sri Putra, Banting menyaksikan pergaduhan dua kumpulan dipercayai penyokong calon ketua cabang dengan penyokong penyandang jawatan itu yang menarik diri daripada pencalonan sebelum ini.

Pergaduhan itu berlaku ketika hampir proses pemilihan cabang berkenaan ditutup pada pukul 7 malam tadi.

Difahamkan pergaduhan tercetus setelah salah satu pihak tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus.

Pemilihan semula PKR Cabang Sabak Bernam di Dewan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pula turut kecoh apabila terdapat ahli parti itu didakwa cuba melakukan provokasi untuk meraih undi sehingga berlaku pertengkaran kecil.

Seorang ahli PKR cabang berkenaan yang enggan dikenali mendakwa, pengedaran terlalu banyak risalah nama calon telah menimbulkan kerumitan kepada pengundi.

"Ada juga beberapa individu yang sudah dilucutkan keahlian daripada PKR, dilihat membantu memancing undi dan menimbulkan kekecohan dengan mengoyakkan gambar calon bertanding.

"Apabila ada penyokong calon berkenaan ternampak kertas itu dikoyakkan, mulalah kecoh kerana mereka tidak puas hati," dakwanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment