My Add

Sunday 22 June 2014

Remaja OKU seperti 'mayat hidup' diselamat

 * SEORANG budak lelaki dalam keadaan menyayat hati yang ditemui oleh anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia semasa menjalankan operasi pendatang asing tanpa izin di Flat Taman Semarak, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN, SABTU 21 Jun, 2014: Mereka yang melihat nasib Muhammad Firdaus Dullah, 15, hanya mampu mengurut dada. Apakah sebenarnya yang berlaku ke atas remaja orang kurang upaya (OKU) ini sehingga diperlakukan dengan begitu buruk?

Tubuhnya kurus kering, kotor, hanya memakai baju T yang sudah koyak dan reput serta berlumuran najis. Bilik tempatnya berlindung seperti reban yang tidak dibersihkan dalam tempoh lama.

Mujurlah segala kesengsaraan yang dialami oleh remaja umpama mayat hidup ini berakhir apabila ditemui oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang menjalankan operasi pendatang asing tanpa izin di salah satu unit kediaman di Flat Taman Semarak, Nilai dekat sini awal pagi ini.

Muhammad Firdaus yang hanya boleh bergerak dengan mengengsot semasa ditemui anggota penguat kuasa kelihatan terpinga-pinga sambil bertutur dalam bahasa yang tidak jelas.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya menemui remaja itu di dalam sebuah bilik ketika melakukan Operasi Bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin.

"Remaja ini berada dalam keadaan terlalu kurus sehingga menampakkan tulang rusuk menyebabkan dia kelihatan seperti kanak-kanak berusia lima tahun. Mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk rawatan.

"Hasil penelitian juga mendapati remaja itu disyaki dikurung di rumah berkenaan dalam tempoh yang lama.

"Ini berdasarkan keadaan fizikal, pakaian, rambut yang tidak terurus. Kita juga percaya dia memakan najisnya sendiri daripada kesan kekotoran itu di mulutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata Faizal lagi, dalam rumah terbabit terdapat bungkusan makanan polisterin yang bersepah dan berbau busuk.

"Keadaannya amat menyayat hati dan kita dapati mangsa memiliki sijil kelahiran. Ibunya berusia 39 tahun dan berasal dari Sabah juga telah dikesan dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini hari ini.

Difahamkan, ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Sepang telah berkahwin lain dan memiliki seorang lagi anak tetapi menetap di salah sebuah unit lain berdekatan.

Mengulas lanjut mengenai Operasi Bersepadu 6P, Faizal Fazri memberitahu, seramai 284 individu telah diperiksa dalam operasi tersebut yang bermula pada pukul 2 pagi melibatkan anggota dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Koperasi Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sembilan Berhad (Kopens). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment