My Add

Monday 2 June 2014

GST: Mohd. Puad desak KSU Perbendaharaan bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, AHAD 01 Jun, 2014: Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah perlu mengambil tanggungjawab dengan bersara lebih awal jika benar keputusan beliau menjadi punca kegagalan penyampaian berkesan kepada rakyat mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Selain Mohd. Irwan Serigar, Setiausaha Bahagian Analisa Cukai Perbendaharaan, Datuk Siti Halimah Ismail juga harus bertanggungjawab atas penggunaan papan iklan kartun untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa GST perlu menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penggunaan papan iklan kartun sebagai medium untuk menjelaskan kepentingan GST kepada negara bukan sahaja gagal mencapai maksud sebenar bagi membantu rakyat memahami tetapi dianggap amat memalukan kerana tidak sesuai.

"Pegawai-pegawai tinggi pihak Perbendaharaan ini sepatutnya membantu Perdana Menteri dan kerajaan, bukan menjadi satu beban pula. Mohd. Irwan Serigar dan Siti Halimah wajar bersara awal jika mereka berdua menjadi punca kegagalan komunikasi media mengenai GST kepada rakyat.

"Kegagalan pegawai tinggi yang diamanahkan Perdana Menteri memberi kesan politik yang negatif kepada kerajaan. Sepatutnya mereka pro-aktif mengurus persepsi yang menjadi senjata pembangkang memburuk-burukkan usaha baik kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, masih ramai rakyat yang keliru tentang perkara sebenar mengenai GST dan pihak pembangkang telah menggunakan kesempatan ini untuk mempolitikkan sistem cukai tersebut tetapi malangnya, pihak yang diamanahkan sentiasa lambat untuk menjelaskan perkara sebenar.

Katanya, kegagalan itu menyebabkan rakyat cepat percaya kepada dakyah-dakyah negatif khususnya yang diputarbelitkan melalui media sosial sebagaimana tuduhan kononnya kerajaan akan menaikkan tarif elektrik sebanyak dua kali dalam tempoh empat bulan baru-baru ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment