My Add

Monday 2 June 2014

Lima negara anggota FPDA jamin terus cari pesawat MH370

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein (duduk hadapan tiga dari kanan) mempengerusikan Mesyuarat Kesembilan Perjanjian Pertahanan Lima Negara di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU, AHAD 01 Jun, 2014: Kelima-lima negara anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) memberi jaminan akan terus komited menyalurkan bantuan dan sokongan dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang memasuki fasa baharu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sokongan tersebut disuarakan oleh setiap wakil anggota dalam Mesyuarat Kesembilan FPDA yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, FPDA turut memperakukan empat jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyelaras fasa baharu misi pencarian MH370 itu.

"Empat jawatankuasa yang ditubuhkan adalah Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Penumpang dan Anak Kapal, Kerahan Aset, Kumpulan Pakar dan kerjasama bilateral antara Malaysia, China dan Australia.

"Pencarian MH370 sebelum ini mendapat bantuan pelbagai negara dan usaha ini akan diteruskan sehingga pesawat ditemui," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan Australia, Senator David Johnston; Menteri Pertahanan New Zealand, Dr. Jonathan Coleman; Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen dan Setiausaha Pertahanan United Kingdom, Philip Hammond.

Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut secara tidak langsung akan menjawab segala tuduhan konspirasi yang timbul berkaitan kehilangan pesawat berkenaan.

"Kesemua menteri yang hadir dalam mesyuarat ini juga menyatakan kesedihan dan simpati mereka terhadap keluarga penumpang dan anak kapal MH370," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment