My Add

Sunday 1 June 2014

Had penjualan diesel, petrol di sempadan

 ALIAS AHMAD
TUMPAT, SABTU 31 Mei, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengehadkan penjualan minyak diesel dan petrol di setiap stesen minyak di sempadan Kelantan-Thailand kepada 600,000 liter sebulan berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, langkah tersebut diambil bagi membendung kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi yang semakin aktif di sempadan ne­geri itu.

“Mulai esok, kita hadkan penjualan diesel dan petrol kepada 600,000 liter kepada satu stesen minyak setiap bulan dan kita ada 39 buah stesen minyak di sempadan negeri ini.

“Kuota ini dikenakan di sini terlebih dahulu kerana Kelantan berbeza dari negeri lain kerana bersempadan dengan Thailand dan kita dapati kes penyeludupan di sini lebih ketara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Siswa @ Kampung Universiti Putra Malaysia di Sekolah Kebangsaan Kebakat di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan, Ab Ghani Harun dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan, Wan Mohamad Sabri Wan Harun.

Alias berkata, kuota penjualan tersebut akan dikenakan kepada stesen minyak yang berada di antara 1 kilo­meter sehingga 25 kilometer dari sempadan negara itu.

“Ini kerana kita dapati penjualan petrol dan diesel di stesen minyak di sempadan mencecah sehingga 1.9 juta liter satu bulan untuk sebuah stesen minyak.

“Ia mustahil macam mana boleh dijual untuk pelanggan banyak macam tu dan di jajahan Rantau Panjang kerajaan telah mengalami kerugian sebanyak RM30 juta kerana penyeludupan mi­nyak bersubsidi," katanya.

Alias berkata, pihaknya mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi baharu iaitu dengan menggunakan tangki asal yang ada pada kenderaan untuk membawa minyak ke sempadan.

“Mereka tidak lagi menggunakan tangki tambahan dalam trak dan lain-lain tetapi mereka berulang alik menggunakan kenderaan yang sama untuk berulang alik ke sempadan untuk menyeludup minyak ke sana.

“Jadi kita umumkan langkah ini sehingga kerajaan akan umum satu sistem yang baharu September ini tetapi sementara itu, ini yang kita perkenalkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata tindakan tegas juga akan diambil ke atas pengusaha stesen minyak yang bersubahat dengan penyeludup membawa diesel dan petrol ke luar negara.

“Kita tidak teragak-agak untuk gantung lesen perjanjian Akta Kemajuan Petroleum (PDA) jika mereka bersubahat dengan penyeludup.

“Selain itu, jika stesen minyak di sempadan ini inginkan kuota penjualan minyak dan diesel yang lebih mereka perlulah kemukakan permohonan kepada pihak KPDNKK Kelantan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihak KPDNKK akan terus mempergiatkan usaha mengesan kegiatan penyeludupan di bawah Ops Titik.

“Ops ini akan berterusan sehingga Disember tahun ini dan kita akan wujudkan pasukan khas risikan untuk memantau dan merisik penyeludup yang bersindiket di bawah Ops Titik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment