My Add

Sunday 1 June 2014

Najib minta kedutaan bantu Hadi Awang

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Pejabat Kedutaan Malaysia di Turki supaya memberikan bantuan sewajarnya kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini dirawat di sebuah hospital di Istanbul ekoran sesak nafas.

Menurut Perdana Menteri, pihaknya telah menghubungi pejabat kedutaan tersebut selepas mendapat perkhabaran itu, pagi ini.

“Dimaklum Datuk Seri Abdul Hadi Awang diwadkan (dimasukkan ke dalam wad) di hospital (di) Istanbul. Pagi tadi saya hubungi kedutaan untuk pastikan beliau (Abdul Hadi) diberi sokongan sepatutnya,’’ katanya menerusi laman Twitter miliknya hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan keadaan Abdul Hadi yang dikejarkan ke hospital di Istanbul, kira-kira pukul 8.45 malam semalam (waktu Malaysia).

Difahamkan, Abdul Hadi kini dirawat di sebuah hospital universiti di Medipol Universitesi Hastansi, Istanbul selepas mengadu sesak nafas.

Sementara itu, dalam satu mesej di laman Facebook Abdul Hadi, Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, setakat pukul 9.30 pagi waktu Istanbul (2.30 petang waktu Malaysia), paru-paru Presiden Pas itu memberi respon positif dengan ubat yang diberikan.

“Alhamdulillah, saya masih di hospital, menunggu sebarang update (perkembangan) daripada doktor,’’ katanya.

Dalam satu mesej di laman Facebook Pas pula, anak beliau, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat dikatakan telah ke Istanbul untuk melihat keadaan Abdul Hadi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment