My Add

Sunday 1 June 2014

Hubungan erat diperbaharui

Oleh Rozaman Ismail

 * NAJIB Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (lima dari kiri) menyaksikan majlis bertukar-tukar dokumen antara syarikat Malaysia dan China selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi di Dewan Besar Rakyat di Beijing, China, semalam. - BERNAMA
BEIJING, SABTU 31 Mei, 2014: Malaysia dan China hari ini memperbaharui hubungan diplomatik yang terjalin erat sejak 40 tahun dalam satu majlis penuh bersejarah di The Great Hall of People atau Dewan Besar Rakyat di sini.

Sambutan itu lebih bermakna apabila berlangsung di Dewan Barat, tempat yang sama Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang juga ayahanda kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diraikan empat dekad lalu.

Di hadapan kira-kira 300 delegasi Malaysia dan China, Najib dan rakan sejawatannya, Li Keqiang saling menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala yang mula dirintis pada 31 Mei 1974.

Najib ketika berucap turut mengimbau balik satu soalan yang pernah ditanyakan kepada ayahandanya.

“Sebagai seorang pelajar universiti ketika itu, saya tanya kenapa ayahanda sanggup ke China dan wujudkan hubungan ini? Tun Razak menjawab kerana Perdana Menteri, Zhou Enlai adalah seorang yang boleh dipercayai.

“Hari ini di dewan yang sama, saya bukan sahaja berasa bertanggungjawab kepada kerajaan, tetapi juga kepada ayahanda saya untuk meneruskan legasinya bagi memastikan hubungan kedua-dua negara menjadi lebih bermakna,’’ tegas beliau.

Najib menyifatkan misi yang dimulakan oleh bapanya itu sebagai ‘perjalanan persahabatan muhibah’ berlandaskan persefahaman dan sikap saling mempercayai yang sekaligus telah membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala tersebut.

Beliau berkata, hasilnya, Malaysia menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang menjalin hubungan dengan China, walaupun ada segelintir pemimpin negara lain ketika itu tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Selepas empat dekad, kata Najib, Malaysia dan China sama-sama membangun, menjadi rakan dagang utama malah Malaysia adalah rakan dagang China yang terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

Menurut Perdana Menteri, ketika ekonomi kedua-dua negara berkembang, hubungan sesama rakyat juga terus kukuh dengan beribu-ribu pelajar dari Malaysia mengambil peluang menuntut China, begitulah juga sebaliknya.

Bagaimanapun, kata Najib, persahabatan antara Malaysia dan China juga diuji dengan insiden kehilangan pesawat MH370.

“Malaysia amat berterima kasih kepada China kerana ketika berhadapan dengan ujian getir ini, mereka banyak membantu dan selagi pesawat itu tidak ditemui, kita tidak akan sesekali menghentikan operasi mencarinya,’’ tegas beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau berpegang kepada pesanan ayahandanya bahawa hubungan yang telah terjalin ini hendaklah dijaga dan dipupuk sebaik-baiknya sebagaimana peribahasa Cina ‘kalau hati sudah bersatu, tanah yang kuning bertukar emas’.

Sementara itu, Li Keqiang dalam ucapan sebelum itu menegaskan, dalam tempoh 40 tahun, China dan Malaysia mendapat manfaat yang bukan sedikit selain berjaya mewujudkan asas persahabatan yang kukuh.

Menurutnya, walaupun kadang kala berhadapan dengan beberapa ujian, kedua-dua negara berjaya melaluinya dengan baik malah menjadi contoh kepada negara-negara lain. - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment