My Add

Sunday 1 June 2014

Mangsa culik dihantar pulang ke negara asal - KPN

 * GAO Hua Yuan (dua dari kanan) ketika dalam proses dibawa balik dari kepulauan Jolo, selatan Filipina.
SEPANG, SABTU 31 Mei, 2014: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kerajaan akan menghantar pulang warga China, Gao Hua Yuan, 29, dan pekerja Resort Singamata, Marcy Dayawan @ Mimi, 40, yang diculik di Semporna, bulan lalu, ke negara asal mereka secepat mungkin.

“Kedua-duanya akan dibawa ke Kuala Lumpur. Hua Yuan akan bertemu keluarganya. Mungkin kita akan hantar dia pulang secepat mungkin, kalau boleh hari ini, kerana sudah lama berpisah dengan keluarganya," katanya ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada pihak berkuasa memberi peluang kepada media untuk menemuramah kedua-dua mangsa, Khalid meminta supaya semua pihak tidak memberi tekanan dan memberi mereka ruang untuk berehat.

“Saya rasa dia pun tak mahu. Jangan ganggu dia. Dia pun dah lama dalam tekanan dan biarlah dia berjumpa dengan keluarganya," katanya.

Hua Yuan yang diculik bersama seorang pekerja resort tersebut, Marcy Dayawan, 40, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Kota Kinabalu, Sabah, pada pukul 6.05 pagi dan tiba di sini pukul 8.30 pagi.

Semalam, Hua Yun dan Mimi berjaya dibawa keluar oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari sebuah kem di kepulauan Jolo, selatan Filipina, seterusnya tiba di Sandakan, dekat sini pada pukul 4.30 petang hari yang sama.

Kedua-dua mangsa dibawa dari Sandakan ke Kota Kinabalu pada pukul 9.25 malam tadi, sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi ini dengan diiringi oleh pihak keselamatan dari Bukit Aman.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam pada 2 April lalu, Hua Yun bersama Mimi diculik tujuh lelaki berbaju hitam, bertopeng dan bersenjata api dengan menaiki sebuah bot di resort berkenaan.

Di KOTA KINABALU, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, Mimi akan dibenarkan pulang ke negara asalnya sebaik sahaja didapati tidak mempunyai sebarang kaitan dengan insiden penculikan tersebut.

“Polis masih melakukan siasatan dari segenap sudut sama ada Mimi yang turut diculik bersekongkol dengan penculik. Jika hasil siasatan kita mendapati dia tidak terlibat dengan insiden itu, kita akan membenarkannya pulang ke Filipina," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan mewakili kerajaan negeri, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan keselamatan terlibat dan pihak berkuasa Filipina kerana memberi kerjasama baik sepanjang operasi menyelamat dijalankan.

Beliau berkata, operasi menyelamat mangsa amat kompleks dan tidak akan membuahkan hasil tanpa sokongan, koordinasi kerjasama jitu antara pasukan keselamatan kedua-dua negara.

“Oleh itu, saya mengingatkan seluruh anggota keselamatan supaya berwaspada dan sentiasa bersiap-siaga dalam mencegah jenayah bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

“Saya juga meminta orang ramai memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan sekali gus melaporkan sebarang kejadian yang mencurigakan berlaku di tempat masing-masing," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment