My Add

Sunday 1 June 2014

Johor lancar Pelan Suara Hati Johor penuhi kehendak rakyat

NUSAJAYA, SABTU 31 Mei, 2014: Kerajaan negeri hari ini melancarkan Pelan Suara Hati Johor dalam usaha memastikan pentadbiran negeri ini dilaksanakan mengikut dasar dan program yang selari dengan kehendak sebenar rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan pengenalan pelan yang menumpukan kepada tujuh fokus utama itu, budaya berteraskan pencapaian menjadi budaya baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, pemantauan dan pengukuran prestasi terhadap segala yang dibentangkan pelan berkenaan akan dilaksanakan oleh badan yang profesional, bebas dan berwibawa dikenali sebagai Indeks Penilaian Prestasi (Inpres)

“Tidak ada lagi retorik, omongan politik dan pembangunan kosong, semua projek dan program akan melalui proses penilaian," katanya berucap pada Hari Terbuka dan Pelancaran Pelan Suara Hati Johor di Medini Mall, di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuh fokus utama yang harus menjadi dasar perancangan pembangunan pentadbiran kerajaan negeri ialah pertama, keselamatan kerana rakyat negeri ini mendambakan Johor yang bebas jenayah serta berasa selamat.

Kedua, tambahnya, memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan, inklusif serta adil dan ketiga, rakyat mahukan tempat berlindung menjadi hak asasi iaitu memiliki rumah bukan lagi satu keperluan tetapi adalah hak.

“Fokus keempat pula ialah rakyat mahukan kos kehidupan di negeri ini yang munasabah dan sesuai dengan pendapatan sekali gus mekanisme ekonomi di Johor perlu dilaksanakan tanpa rakyat rasa terbeban de­ngan kos hidup yang semakin meningkat.

“Kelima pula adalah meningkatkan kemudahan awam di negeri ini dengan prasarana setaraf negara maju dan keenam, rak­yat mahukan kemudahan kesihatan yang baik serta bermutu tinggi serta menyeluruh dan mudah didapati," katanya.

Mohamed Khaled berkata, akhir sekali, dengan semua keperluan material dan asasi, rakyat turut mahukan pemerintahan dan masyarakat Johor yang berpegang kepada agama serta nilai supaya negeri ini sentiasa memperoleh limpah rahmat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment