My Add

Monday 2 June 2014

Komited perkukuh kerjasama

Oleh HANIZA HASSAN dan MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein (dua dari kiri) bersama David Johnston (kiri), Dr. Jonathan Coleman (tiga dari kiri), Dr. Ng Eng Hen (dua dari kanan) dan Phillip Hammond semasa mereka menghadiri Mesyuarat Kesembilan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/ AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU, AHAD 01 Jun, 2014: Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dimeterai sejak 43 tahun lalu antara United Kingdom (UK), Australia, Singapura, New Zealand dan Malaysia akan terus diperkukuh dan diperhebat dari semasa ke semasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hubungan yang terjalin antara kesemua negara tersebut adalah penting dalam usaha membanteras kejadian jenayah yang memasuki era baharu.

"Perjanjian akan turut memberi perhatian terhadap isu seperti penyeludupan dadah dan senjata api, pemerdagangan manusia serta aktiviti lanun yang semakin meningkat.

"Sewaktu perjanjian ini diwujudkan, ancaman yang dihadapi berbeza. Jadi, setiap negara anggota komited dalam memberi kerjasama untuk membanteras gejala ber­kenaan," katanya dalam sidang akhbar Mesyuarat Kesembilan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang diadakan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan Australia, Senator David Johnston; Menteri Pertahanan New Zealand, Dr. Jonathan Coleman; Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen dan Setiausaha Pertahanan United Kingdom, Philip Hammond.

Mesyuarat tertutup selama kira-kira sejam 30 minit itu yang diadakan di Hotel KSL di sini bermula pukul 4.30 petang.

Hishammuddin berkata, perjanjian yang terjalin turut membina kepercayaan antara setiap negara anggota dan mengurangkan kete­gangan yang timbul tentang beberapa isu serantau, antaranya seperti yang berlaku di Laut China Selatan.

"Menerusi jalinan kerjasama dan perbincangan yang berlangsung, negara anggota bersetuju bahawa permasalahan tentang isu serantau perlu ditangani bersama.

"Antara aspek yang ditekankan termasuk kerjasama, dialog, persetujuan menghormati undang-undang antarabangsa serta pengurusan ancaman dan bencana," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua negara anggota berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai dalam perjanjian itu sejak perjumpaan terakhir tiga tahun lalu.

"Wakil-wakil negara bersetuju kerjasama yang terjalin melalui FPDA memberi kebaikan kepada setiap negara anggota menerusi penyertaan dalam eksais ketenteraan dan bersetuju untuk meneruskan aktiviti tersebut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment