My Add

Monday, 2 June 2014

Sasar penjimatan RM9.8 bilion

Oleh HUSSAINI AMRAN

 * HASAN Malek (tengah) mengedarkan Mingguan Malaysia dan Kosmo! Ahad kepada orang ramai pada Ekspo Pengguna Malaysia 2014 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR, AHAD 01 Jun, 2014: Kerajaan akan memperkenalkan satu sistem baharu penjualan diesel dan petrol bersubsidi kepada pemilik kenderaan yang layak secara berperingkat-peringkat, mulai 1 September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kerajaan menyasarkan penjimatan subsidi sebanyak RM9.8 bilion berikutan pelaksanaan sistem pembelian minyak tersebut.

Menurut beliau, pada masa ini, semua rakyat Malaysia layak menggunakan diesel dan petrol bersubsidi kerana kerajaan secara dasarnya tidak menetapkan sebarang syarat berhubung penjualannya, kecuali untuk warga asing atau kegiatan penyeludupan.

"Pelaksanaan sistem ini dijadualkan bermula pada 1 September ini untuk kenderaan perdagangan dan 1 Oktober atau 1 November bagi kenderaan persendirian, bergantung kepada persiapan teknikal di stesen-stesen minyak.

"Secara keseluruhan, kira-kita 3,500 stesen minyak di seluruh negara akan terlibat dan butiran lanjut tentang sistem baharu ini akan diumumkan kemudian," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Pengguna Malaysia (MCE) 2014 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad dan Timbalannya, Datuk Azmi Lateh.

Sementara itu, Alias memberitahu, penguatkuasaan had penjualan diesel dan petrol akan diperluaskan meliputi semua stesen minyak yang berhampiran sempadan negara jiran termasuk di Kedah, Perlis dan Johor.

Beliau memberitahu, tindakan itu dimulakan di Kelantan berikutan kegiatan penyeludupan diesel yang ketara di negeri tersebut.

"Kita yakin langkah menetapkan siling bagi penjualan diesel dan petrol itu dapat mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan," ujarnya.

Semalam, Alias mengumumkan had penjualan diesel dan petrol kepada 600,000 liter sebulan di setiap stesen minyak di sempadan Kelantan-Thailand berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasan menjelaskan, pihaknya masih belum menerima laporan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap kegiatan penyelewengan subsidi diesel.

"Maknanya, pegawai-pegawai kementerian adalah bersih kecuali setelah dibuktikan bersalah, kita akan mengambil tindakan," katanya.

Sejak 10 Mei lalu, akhbar ini telah mendedahkan bagaimana penyelewengan diesel bersubsidi berada di tahap serius sehingga mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment