My Add

Sunday 1 June 2014

Malaysia, China setuju tingkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang

BEIJING, SABTU 31 Mei, 2014: Malaysia dan China hari ini memeterai Pernyataan Bersama yang antara lain menyentuh mengenai peningkatan kerjasama dalam perdagangan dan hubungan rakyat dengan rakyat di samping menggesa bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Li Keqiang memeterai pernyataan itu dengan disaksikan lebih 300 tetamu semasa upacara sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara di Dewan Besar Rakyat di sini.

Najib dan Keqiang, yang mengambil kira kemajuan yang dicapai lebih 40 tahun lalu dalam hubungan, bersetuju untuk merangka rancangan bagi pembangunan masa depan serta mengulangi pematuhan prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah satu sama lain.

Malaysia juga menghargai sumbangan China dalam usaha mencari pesawat Malaysia Arlines (MAS) MH370 sementara Beijing menyambut baik jaminan Malaysia untuk meneruskan operasi mencari sehingga MH370 ditemui.

Satu lagi perkara penting dalam pernyataan bersama ialah kedua-dua bank pusat akan bekerjasama untuk mempercepatkan penggunaan mata wang tempatan untuk urusan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara dan menggalakkan usaha membangunkan infrastruktur sokongan yang perlu.

Pihak China juga akan mengkaji untuk terus membenarkan import susu dan produk tenusu daripada pengeluar Malaysia sementara menunggu kelulusan bagi akses pemeriksaan dan kuarantin yang baharu.

Mengenai kerjasama pertahanan, kedua-dua negara bersetuju untuk mewujudkan ‘hotline’ bagi komunikasi antara kedua-dua angkatan tentera dan kapal tentera laut dari kedua-dua negara saling membuat persinggahan di pelabuhan satu sama lain.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneruskan perundingan mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.

Mengenai isu Laut China Selatan, kedua-dua pihak menegaskan bahawa semua negara yang berdaulat yang terlibat secara langsung hendaklah mengambil pendekatan bertenang dan menyelesaikan perbalahan secara aman, perbincangan dan perundingan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment