My Add

Monday 2 June 2014


Manfaatkan mandat tipis oleh rakyat Teluk Intan


 Oleh SYED HESHAM IDRIS

PENDUDUK Teluk Intan ternyata bijak dan membuat keputusan tepat apabila memilih Barisan Nasional (BN) sebagai pembela nasib mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu kelmarin.

Walaupun majoriti yang dimenangi calon BN, Datuk Mah Siew Keong cuma 238 undi mengatasi calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud, keputusan itu tetap satu kemenangan manis dan besar maknanya buat BN.

Keputusan PRK semalam menyaksikan Siew Keong menang tipis apabila memperoleh 20,157 undi manakala Dyana Sofya 19,919 undi.

Ternyata percaturan BN meletakkan ‘orang lama’ dan berpengalaman seperti Siew Keong menjadi penyumbang besar kepada kemenangan tersebut.

Siapa yang mampu menolak calon seperti beliau. Orang tempatan, berpengalaman dan amat dikenali kerana pernah menjadi ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal.

Slogan ‘anak Teluk Intan untuk Teluk Intan’ sememangnya cukup memikat pengundi yang mengharapkan muncul seorang pemimpin dari kawasan itu yang mampu mengubah wajah Teluk Intan.

Sebaliknya, percaturan DAP meletakkan Dyana Sofya memakan diri. Kehadiran Dyana di Teluk Intan sememangnya mencetuskan fenomena.

Namun, beliau tidak lebih ibarat seorang artis cantik dan glamor yang muncul di Teluk Intan dan diserbu peminat.

Hakikatnya DAP mungkin terlupa bahawa PRK bukan pentas hiburan atau pertandingan ratu cantik yang akan menentukan pemenangnya berdasarkan populariti dan paras rupa.

Rakyat mahu memilih pe­mim­pin dan bijak menilai siapa yang layak menjadi pemimpin. Rakyat mahukan pemimpin yang boleh buat kerja, sentiasa berada di Teluk Intan dan boleh ditemui pada bila-bila masa, bukan calon luar seperti Dyana Sofya yang tidak pun mengundi di kawasan beliau bertan­ding. Itu merupakan antara faktor Dyana Sofya ditolak.

Kegagalan DAP mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan juga bermakna Dyana Sofya gagal mencipta sejarah untuk menjadi ahli Parlimen termuda iaitu pada usia 26 tahun.

Namun, di sebalik kemenangan itu, BN harus berwaspada. Kemenangan itu bukan gambaran mutlak pengundi sudah beralih sokongan kepada BN sepenuhnya.

Jika diperhalusi undi 20,157 yang diraih oleh Siew Keong dalam PRK itu, pertambahan undi beliau cuma 71 undi sahaja kerana pada PRU yang lalu, Presiden Gerakan itu mendapat 20,086 undi.

DAP kalah kerana hilang banyak undi akibat ramai penyokong parti itu yang tidak keluar mengundi. Dyana Sofya meraih 19,919 undi dalam PRK ini berbanding 27,399 undi yang diraih mendiang Seah Leong Peng dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

DAP menang PRU lalu dengan majoriti 7,313. Ini bermakna DAP kehilangan hampir 8,000 undi ke­rana ramai penyokong yang keluar mengundi semalam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment