My Add

Monday 2 June 2014

Rakyat tolak politik kebencian

Oleh AMRAN MULUP, SHEILA RANI CHANDRASEKARAN,
AZHARI ZAINOODDIN dan MUHAMMAD AIMY AHMAD

KUALA LUMPUR, AHAD 01 Jun, 2014: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan semalam jelas membuktikan rakyat sama sekali menolak politik kebencian pembangkang.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kemenangan itu turut menunjukkan barisan kepimpinan BN diterima baik oleh masyarakat.

"Rakyat mahukan pembaharuan, politik sederhana yang tidak menghina, tidak sinis, bukan politik kebencian dan ramai yang berada di tengah atau middle ground.

"Pada saya kemenangan ini me­rupakan penghormatan dan bukti yang cukup jelas bahawa rakyat mahukan kesederhanaan dalam politik negara. Malah, ini juga merupakan isyarat kepada pakatan pembangkang supaya mengamalkan politik sederhana.

"BN perlu mengambil kesempatan untuk menjadi sebuah parti yang berjaya memenangi hati rakyat dengan terus mengamalkan politik sederhana," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) keenam di sini hari ini.

Percaturan DAP meletakkan calon Melayu, Dyana Sofya Mohd. Daud bertanding pada PRK Parlimen Teluk Intan semalam tidak menjadi apabila Siew Keong berjaya memenangi hati pengundi dengan memperoleh majoriti 238 undi.

Siew Keong yang juga merupakan Presiden Gerakan memperoleh sejumlah 20,157 undi manakala Dya­na Sofya meraih 19,919 undi.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel dalam satu kenyataan di sini hari ini menyifatkan kemena­ngan BN di enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang majoritinya adalah pengundi India, merupakan satu perkembangan yang positif berban­ding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

"Kejayaan BN di Teluk Intan mencetuskan harapan baharu, keyakinan dan semangat jitu kepada semua ahli dalam parti yang telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan.

"Malah, kali ini sokongan gene­rasi muda di kawasan Ladang Nova Scotia kepada BN adalah sangat memuaskan berbanding sebelum ini mereka terpengaruh dengan pakatan pembangkang. Ini merupakan petanda yang cukup baik untuk kebangkitan semula parti di Teluk Intan," katanya.

Justeru, Palanivel mengucapkan ‘Nandri’ (terima kasih) kepada kaum India di situ yang memberi kepercayaan dan harapan baharu kepada BN.

Di MELAKA, Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kemenangan BN dalam PRK semalam bukan terletak di tangan satu-satu kaum sebalik­nya ia adalah hasil keinginan seluruh masyarakat Cina, Melayu dan India yang inginkan perubahan baharu berbanding sebelum ini.

Katanya, sokongan padu terhadap BN mendorong Siew Keong mendapat mandat untuk merampas kembali kerusi itu dari DAP sejak 2008 apabila menewaskan Dyana Sofya dengan majoriti 238 undi.

"Biarpun menang tipis, namun jelas membuktikan rakyat berbilang kaum di Teluk Intan lebih percaya terhadap pemimpin dari BN untuk membawa perubahan baharu di Parlimen Teluk Intan," katanya selepas menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) Pemukiman Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia di Pusat Boling Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh.

Di BATU PAHAT, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi mahu BN terus mengete­ngahkan calon tempatan dalam pilihan raya akan datang kerana kriteria tersebut dilihat berupaya menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan parti.

Beliau yang juga Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO berkata, calon tempatan lebih disenangi masyarakat setempat selain memahami permasalahan dan isu yang berlaku di kawasan masing-masing.

"Faktor calon tempatan yang di­senangi memang antara kriteria utama yang sudah diamalkan kepimpinan tinggi parti, tetapi pada masa sama mereka yang terpilih juga perlu faham masalah dan isu setempat dengan kerap turun padang bertemu masyarakat," katanya.

Di PULAU PINANG, Ahli Dewan Negara yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyifatkan, keberanian DAP meletakkan calon muda Melayu, akhirnya memakan diri sendiri.

Katanya, kekalahan calon DAP semalam jelas menunjukkan rakyat menolak dasar-dasar yang dibawa DAP dan kembali menyokong BN.

"Taktik DAP meletakkan calon Melayu jelas memakan diri sendiri, hujah atau agenda yang dibawa Dyana Sofya juga dilihat tidak mantap untuk menjadi seorang Ahli Parlimen apabila hanya menyerang institusi orang Melayu seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan watikah pelantikan jawatankuasa kawasan Parlimen Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment