My Add

Sunday 22 June 2014

PATI Pantai Timur Sabah dipercayai tali barut kumpulan penculik

KUALA LUMPUR 22 Jun - Golongan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dipercayai menjadi dalang kegiatan penculikan bersiri di kawasan Pantai Timur Sabah.

Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Ahmad Nadzer Nordin berkata, terdapat golongan PATI yang menyamar sebagai rakyat tempatan, menetap dan bekerja di kawasan pantai berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, kemasukan penculik-penculik terbabit ke Sabah, yang bertujuan memeras ugut wang tebusan, dipercayai mendapat maklumat daripada PATI berkenaan.

``Ada di antara mereka yang bekerja di pusat peranginan dan kawasan ternakan ikan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata susulan maklumat itu, Esscom telah memberi amaran kepada pemilik pusat-pusat peranginan termasuk pengusaha syarikat ternakan ikan agar tidak mengambil pekerja tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Ahmad Nadzer turut mendedahkan sebanyak tujuh cubaan penculikan oleh pihak tertentu dapat ditumpaskan selepas Esscom ditubuhkan.

Berdasarkan maklumat risikan, katanya terdapat 14 kumpulan penculik berasal dari selatan Filipina dan sekurang-kurangnya empat anggota kumpulan itu pernah melakukan kegiatan itu di Sabah.

``Kita telah kenal pasti kumpulan ini ...bagaimanapun siasatan lanjut perlu dijalankan termasuk mendapatkan kerjasama daripada orang awam untuk mengecam anggota kumpulan ini termasuk pihak berkuasa Filipina sebelum mereka ditahan,'' katanya.

Tahun ini, sebanyak tiga kes penculikan dilaporkan berlaku di Pantai Timur Sabah iaitu pada 2 April lepas, seorang lelaki warga China dan seorang pekerja wanita warga Filipina diculik di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata.

Pada 6 Mei pula, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik, Lahad Datu dan kejadian terbaharu ialah pada Isnin lepas yang menyaksikan dua lelaki dilarikan dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, Kunak.

Dalam usaha `membersihkan' lambakan PATI, Ahmad Nadzer berkata Ops Gasak dilancarkan di seluruh 10 daerah di wilayah Esszone termasuk di pusat peranginan.

``Dalam operasi yang telah dijalankan sejak Mac lepas, sebanyak 4,000 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,500 orang didapati tidak mempunyai dokumen dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke Manila,'' katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu itu turut melibatkan polis, tentera, Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Imigresen.

Menurutnya Ops Gasak juga boleh dilaksanakan di seluruh Sabah memandangkan negeri itu berhadapan dengan masalah kebanjiran PATI. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment