My Add

Sunday 22 June 2014

Presiden Tajikistan lawat Malaysia empat hari mulai hari ini

PUTRAJAYA, AHAD 22 Jun, 2014: Presiden Republik Tajikistan Emomali Sharipovich Rahmon melakukan lawatan negara ke Malaysia selama empat hari bermula hari ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Rahmon akan diiringi isterinya, Azizahmoh Rahmon dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang malam ini.

Turut serta dalam rombongan beliau ialah Menteri Luar Negeri Aslov Sirodjidin, Menteri Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan Rahimzoda Sharif, Menteri Pendidikan dan Sains Said Nuriddin serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan Tajikistan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar ini merupakan lawatan negara pertama Rahmon ke Malaysia sejak negara itu menjalinkan hubungan diplomatik pada 1992 dan bakal menjadi peristiwa penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Majlis sambutan rasmi untuk Rahmon akan diadakan di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur esok.

Beliau kemudian dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diikuti mesyuarat delegasi di Seri Perdana di sini.

Selepas itu, kedua-dua pemimpin itu akan menyaksikan beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian ditandatangani di antara Malaysia dan Republik Tajikistan.

Menurut Wisma Putra lawatan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan isu-isu dua hala dan juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan buat kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, lawatan Rahmon juga dapat merangsang usahasama lebih erat dalam bidang ekonomi antara Tajikistan dan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Aminah akan meraikan Rahmon dan Azizahmoh pada Santapan Negara di Istana Negara pada malam esok.

Pada Selasa, Rahmon dijadual melawat Universiti Lim KokWing sebelum dianugerahkan dengan satu ijazah Doktor Kehormat.

Menurut Wisma Putra selepas itu, beliau akan merasmi Forum Perdagangan dan Pelaburan Tajikistan di Kuala Lumpur.

Pada malamnya, beliau dan isteri akan mengunjungi Putrajaya dan meluangkan masa menaiki cruise di Tasik Putrajaya.

Pada hari terakhir lawatannya, Rahmon dan isterinya dijadual melawat Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Proton di Shah Alam.

Beliau dan rombongannya dijangka pada petangnya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment