My Add

Sunday 22 June 2014

PBB bantah serang Iraq

 * ANGGOTA sukarelawan daripada Briged Aman yang baru ditubuhkan berikrar menumpaskan pemberontak ISIL semasa menyertai perarakan di bandar Sadr yang merupakan kubu kuat pengikut Syiah, semalam. - AGENSI
NEW YORK, SABTU 21 Jun, 2014: Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon (gambar) membantah rancangan Amerika Syarikat (AS) dan Iraq untuk melancarkan serangan udara ke atas kedudukan kumpulan militan yang menguasai wilayah utara negara itu.

Menurut Ki-moon, serangan udara ke atas militan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) dikhuatiri tidak berkesan dan boleh memberi kesan buruk sama ada kepada AS atau Baghdad.

Beliau juga menggesa kerajaan Iraq dan kumpulan sokongan lain agar tidak bertindak balas terhadap masyarakat Islam berfahaman Sunah atas perbuatan militan ISIL melancarkan serangan di wilayah Diyala sejak lebih seminggu lalu.

"Serangan udara AS ke atas ISIL mungkin hanya berkesan dalam tempoh sementara dan boleh memberi kesan negatif jika tiada tindakan dilakukan untuk membentuk kerajaan yang lebih bersatu-padu.

"ISIL dilihat cuba meracuni pemikiran masyarakat Sunah bahawa kerajaan Iraq, Iran dan Amerika Syarikat bekerjasama untuk menentang golongan tersebut yang tidak mahu terlibat dalam fahaman ekstremis," katanya.

Sementara itu, Iran dilapor menghantar sejumlah kecil tentera untuk membantu kerajaan Iraq menentang militan ISIL, kata Pentagon.

Jurucakap Pentagon, Laksamana John Kirby berkata, anggota tentera Iran daripada unit Quds dipercayai dihantar untuk menjalankan operasi di Iraq, tetapi tiada kerahan tenaga besar-besaran dilakukan oleh Teheran.

"Penglibatan Iran di Iraq bukan perkara baharu, dan adalah lebih baik Teheran mengumumkan sendiri operasi mereka di negara tersebut," katanya. - AFP/AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment