My Add

Sunday 22 June 2014

Pemuda maut ditembak

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
 
 * AHLI keluarga menangis di sisi mayat M. Gurubaran yang ditembak ketika menunggang motosikal di Taman Songket, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, malam semalam. - MINGGUAN/ Abd. Razak Osman
SUNGAI PETANI, SABTU 21 Jun, 2014: Seorang pemuda yang memiliki rekod jenayah lampau maut akibat ditembak sebanyak tiga das di bahagian kepala dan dada di Taman Songket, Jalan Kuala Ketil, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, mangsa, M. Gurubaran, 24, sedang menunggang motosikal bersendirian sebelum muncul dua lelaki menaiki motosikal yang kemudian melepaskan tembakan dari jarak dekat.

Berikutan itu, mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, mangsa yang baru berpindah ke rumah keluarganya di Taman Keladi dekat sini, pergi ke kawasan perumahan itu untuk berjumpa seorang rakannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Nashir Ya memberitahu, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh kes itu termasuk kemungkinan mangsa terbabit dalam pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap.

"Polis kini memburu dua suspek itu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Nashir, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat.

Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda 04-4212222 untuk membantu siasatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment