My Add

Sunday 22 June 2014

Anggota bomba maut dirempuh lori

PONTIAN, SABTU 21 Jun, 2014: Seorang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas di sini, maut manakala seorang lagi cedera parah selepas jentera bomba dirempuh sebuah lori sebaik sahaja selesai menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran lalang di Batu 29, Pengkalan Raja, hari ini.

Mohd. Taufik Ali, 22, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Suboh Abdullah, 45, cedera parah di bahagian dada.

Kejadian dipercayai berlaku ketika jentera bomba tersebut cuba untuk mengundur sebelum sebuah lori membawa muatan batu dari arah Johor Bahru ke Pontian cuba mengelak kenderaan itu lalu merempuh kedua-dua anggota berkenaan yang sedang mengemas peralatan jentera selepas selesai operasi.

Rakan sekerja mangsa, Bakhtiar Chik, 40, berkata, kedua-dua mangsa bersama enam anggota lain pada awalnya bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran lalang yang berlaku pada pukul 3.24 petang.

"Ketika itu kami semua sudah selesai kerja dan hendak pulang semula ke balai. Saya dan beberapa rakan berada di sebelah kiri jentera, manakala kedua-dua mangsa berada di sebelah kanan.

"Semasa jentera mengundur, datang sebuah lori dari belakang dan cuba mengelak lalu terus belok ke kanan dan melanggar jentera bomba sebelum terbalik," katanya ketika ditemui di Hospital Pontian.

Menurut Bakhtiar, Mohd. Taufik yang merupakan seorang yang pendiam sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin.

Katanya, jenazah akan diserahkan kepada keluarganya di Parit Raja, Batu Pahat untuk dikebumikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment