My Add

Monday 2 June 2014

Perdana Menteri tiba di Miri hadiri sambutan Hari Gawai

 * NAJIB Tun Razak dan Adenan Satem (dua dari kiri) mengaminkan doa sebaik sahaja Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Miri bagi menghadiri sambutan perayaan Hari Gawai di Miri, semalam. - BERNAMA
MIRI, AHAD 01 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini untuk bersama rakyat negeri ini meraikan sambutan Hari Gawai dan memulakan lawatan itu dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Kunjungan itu merupakan yang pertama oleh Perdana Menteri sejak Abdul Taib dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ketujuh pada 1 Mac lepas.

Terdahulu, beliau yang tiba di Lapangan Terbang Miri pada pukul 4.30 petang disambut oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, kepemimpinan negeri dan tempatan.

Najib yang berada di sini selama dua hari akan berkunjung ke rumah panjang masyarakat Kenyah di Long Silat, Ulu Baram terletak kira-kira tujuh jam perjalanan darat melalui laluan balak dan menaiki bot dari bandar raya ini untuk menyambut perayaan Gawai Dayak pada pukul 10 pagi esok.

Selepas itu, pada pukul 2 petang, beliau dijadual menziarahi Rumah Jarek anak Klambu di Lambir di sini bersama penduduk berketurunan Iban di rumah panjang berkenaan.

Pada pukul 8 malam, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia: Gawai Dayak 2014 di Dataran Kipas di sini sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

Sambutan pada sebelah malam itu akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian daripada artis terkenal termasuk penyanyi berketurunan Iban.

Antara artis yang dijemput membuat persembahan ialah Hafiz AF, Claudia AF dan Dayang Nurfaizah.

Artis tempatan pula terdiri daripada Andrewson Ngalai, Ricky Andrewson, Vivian Chua, Lucy M serta Reizo Zen yang popular kerana memiliki wajah mirip Micheal Jackson dan mampu meniru persembahan penyanyi tersebut.

Perayaan Hari Gawai disambut oleh masyarakat berketurunan Dayak terdiri daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Kenyah sebagai menandakan berakhirnya musim menuai yang disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment