My Add

Monday 2 June 2014

Komited lonjak hubungan

Oleh ROZAMAN ISMAIL

BEIJING, AHAD 01 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakhiri lawatan rasmi selama enam hari ke China hari ini menyifatkan kunjungannya sangat berjaya.

Perdana Menteri berkata, masa depan hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 40 tahun lalu akan terus cemerlang menerusi komitmen Malaysia dan China untuk melonjakkan hubungan sedia ada ke satu tahap lebih tinggi.

Beliau menegaskan, komitmen itu dinyatakan oleh dua pemimpin tertinggi China iaitu rakan sejawatannya, Li Keqiang dan Presiden Xi Jinping.

‘‘Kedua-duanya menganggap hubungan dengan Malaysia sangat istimewa dan dan mereka memberi keutamaan yang amat tinggi. Mereka optimis dan yakin masa depan hubungan China dan Malaysia amat cerah,’’ katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri berada di China sejak Selasa lalu dalam rangka lawatan enam hari sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berserta beberapa menteri Kabinet memulakan lawatan ke bandar bersejarah Xian.

Menurut Najib, kedua-dua pemimpin tertinggi China itu memberikan layanan yang sangat mesra peringkat tinggi kepada beliau dan rombongan dari Malaysia.

"Walaupun tarikh 31 Mei adalah cuti umum bagi China dan Perdana Menteri, Li Keqiang sepatutnya berada di luar bandar raya ini, tetapi beliau tetap mengambil berat dan hadir untuk sambutan bersejarah ini.

"Ini mencerminkan mereka memandang tinggi dan memberi keutamaan kepada Malaysia sebagai rakan yang penting dan istimewa,’’ tegas beliau.

Menurut Perdana Menteri, salah satu kekhuatiran awal sebelum memulakan lawatan ialah sama ada insiden kehilangan pesawat MH370 akan terus menghantui hubungan dua hala Malaysia-China.

Malah, kata beliau, wujud kebimbangan adakah insiden itu akan memberi kesan negatif kepada hubungan yang sudah lama terjalin itu.

Bagaimanapun, segala kebimbangan itu, kata Najib, hilang setelah kedua-dua pemimpin tertinggi China itu menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak mahu isu berkenaan menjejaskan hubungan sedia ada.

"Malah mereka berharap isu itu dapat diselesaikan dan hubungan terus berkembang dengan lebih maju dan positif," tegas beliau.

Selain itu, kata Najib, China juga tertarik dengan pendekatan tidak kontroversi yang diambil oleh Malaysia dalam menangani perbezaan pendapat berhubung isu Laut China Selatan.

China, kata Perdana Menteri, menyenangi cara Malaysia yang memilih untuk berbincang perkara tersebut malah menganggap itu sebagai contoh yang baik bagaimana isu yang begitu sensitif dapat ditangani dengan begitu tenang, rasional dan tanpa menyentuh sensitiviti pihak terlibat.

Mengenai hubungan dagang ke­dua-dua negara pula, Perdana Menteri berkata, secara spesifik beberapa komitmen telah dinyatakan oleh Li Keqiang dan Xi Jinping antaranya mahu memastikan sasaran RM512 bilion (AS$160 bilion) dalam nilai dagangan dua hala dapat dicapai dalam tempoh lima tahun ini.

Mereka juga, kata Najib, mahu mempertingkatkan hubungan sedia ada kepada kerjasama strategik yang lebih komprehensif iaitu dengan keazaman memperluaskannya dalam semua bidang seperti ekonomi, perniagaan, politik, keselamatan dalam negeri, ketenteraan dan hubungan antara rakyat dengan rakyat.

"Dari segi pelaburan pula, kita mendapat perakuan pimpinan tertinggi China bahawa mereka akan terus memberi galakan kepada syarikat dari negara ini untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia kerana nisbah yang ada sekarang tidak seimbang," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment