My Add

Sunday 22 June 2014

PPK perlu wujud konsortium ceburi bisnes skala besar

KOTA BHARU, SABTU 21 Jun, 2014: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mempunyai aktiviti teras yang sama disaran bergabung sesama sendiri untuk mewujudkan satu konsortium bagi membolehkan mereka menceburi perniagaan berskala besar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, dua atau lebih PPK yang bergabung sebagai satu konsortium mempunyai pelbagai kelebihan, termasuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh.

"Mana-mana PPK yang mempunyai kepentingan bersama seperti padi umpamanya, boleh menubuhkan konsortium bagi membina kekuatan untuk menceburi perniagaan berkaitan industri padi.

"Kalau sesebuah PPK bergerak sendiri, perkara berkaitan modal, tenaga pakar dan aspek pengurusan menjadi kekangan untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Jaya dan PPK Sungai Ketereh, Peringat dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Datuk Md. Alwi Che Ahmad serta Pengurus Besar Kada, Mohd. Rais Mohd. Ariffin.

Tajuddin berkata, PPK yang mempunyai aktiviti teras sama seperti penanaman padi juga disaran bergabung bagi membina kilang sendiri di kawasan masing-masing yang boleh mengurangkan kebergantungan terhadap pihak lain.

Katanya, setakat ini, hanya 10 peratus kilang memproses padi di negara ini dimiliki golongan bumiputera manakala selebihnya dikuasai kaum lain.

"Kawasan padi di Kelantan kini mencecah 29,000 hektar manakala hasil pengeluaran padi adalah 250 metrik tan setahun dan dengan jumlah ini, satu kilang yang mempunyai kapasiti 30 hingga 40 tan metrik tidak cukup. Kita memerlukan empat hingga lima buah kilang lagi.

"Lesen untuk membina kilang padi dikeluarkan oleh pihak kementerian. Jika mahu bina, bawa surat permohonan dan buat kertas cadangan, sekiranya munasabah dan realistik, tidak ada sebab untuk kita tolak permohonan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment