My Add

Sunday 22 June 2014

5 juta disasar kunjungi MAHA

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
 
* ISMAIL Sabri Yaakob dan Idris Haron (tengah) bersama maskot Maha 2014 pada Program Road To Maha sempena Karnival Pertanian dan Keusahawanan di Ayer Keroh, Melaka, semalam. - MINGGUAN/Mohammad Dzulhisham Che HassiM
MELAKA, SABTU 21 Jun, 2014: Kerajaan menyasarkan seramai lima juta pengunjung ke Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia ( Maha 2014) yang akan berlangsung di Serdang, Selangor, November ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan pameran yang diadakan setiap dua tahun sekali itu sentiasa mendapat sam­butan yang menggalakkan.

Menurutnya, pada pameran Maha 2012, seramai 3.3 juta pengunjung direkodkan dan nilai jualan pula mencecah RM10 juta.

"Pada Maha kali ini kerajaan menyasarkan nilai jualan produk meningkat sekali ganda iaitu RM20 juta kerana kita menjangkakan penyertaan daripada ramai pempamer seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Road To Maha sempena Karnival Pertanian dan Keusahawanan negeri Melaka di Dataran Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Naim Abu Bakar.

Ismail Sabri berkata, program Road To Maha kini sedang giat berlangsung di setiap negeri dan Melaka merupakan negeri keenam menganjurkannya.

Beliau berkata, program itu akan menjelajah ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak sebagai usaha mempromosi dan persediaan kepada usahawan yang akan me­nyertai Maha 2014.

"Melalui kempen jelajah Road To Maha ini, kementerian percaya banyak produk keluaran usahawan dapat ditonjolkan dengan lebih menyeluruh untuk dibawa ke Maha 2014.

"Produk keluaran usahawan tempatan banyak yang berpotensi untuk dikembangkan melalui pentas Maha 2014 seterusnya dapat dipromosikan pula di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa menggerakkan usaha dalam membantu usahawan tempatan melebarkan perniagaan ke persada antarabangsa dan kini usaha itu telah pun menampakkan hasilnya apabila beberapa negara bersetuju memasarkan produk tempatan di negara masing-masing.

Katanya, Agro Bazar di Singapura yang berlangsung bulan ini akan mempromosi dan mengetengahkan produk tempatan dengan China turut menyatakan persetujuan memasarkan hampir 1,000 produk tempatan di seluruh wilayah Xi’an.

"Penerimaan produk tempatan di luar negara ini membuktikan bahawa produk yang dihasilkan dalam negara ini memang berpotensi untuk menembusi pasaran global," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment