My Add

Sunday, 22 June 2014

Sultan ketuai rombongan KMJ

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

 * SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar diiringi Mohamed Khaled Nordin (kiri) memasukkan replika kunci ke dalam kotak elektronik sebagai simbolik pelancaran Kembara Mahkota Johor di Dataran MBJB, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU, SABTU 21 Jun, 2014: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengetuai rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 pada majlis pelepasan rombongan tersebut di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

KMJ tahun ini yang memasuki edisi ke-17 memulakan perjalanan sejauh 858 kilometer ke 10 buah daerah di negeri ini bagi bertemu dengan rakyat jelata.

Majlis pelepasan itu menyaksikan Sultan Johor memandu sendiri sebuah bas sambil ditemani Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di hadapan kira-kira 5,000 hadirin yang membanjiri dataran tersebut.

Turut berangkat menyertai KMJ 2014 ialah Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Dalam ucapan perasmian majlis tersebut, Mohamed Khaled berkata, sejak program kembara tersebut diperkenalkan kira-kira 14 tahun lalu, ia telah dapat merapatkan hubungan baik di antara istana, kerajaan negeri dan rakyat jelata.

"Peluang untuk bertemu Sultan Johor secara lebih dekat sambil bersalam-salaman akan menambahkan kemesraan dan kegembiraan rakyat sebagai tanda cinta serta kasih mereka yang amat sangat kepada tuanku.

"Lebih dari itu kehadiran program ini secara langsung mampu memperkukuhkan institusi raja berperlembagaan yang wajib dilindungi dan dipelihara," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Perlepasan Kembara Mahkota Johor 2014 di sini hari ini.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim.

Program KMJ 2014 yang bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat’ banyak mengetengahkan beberapa program kesedaran kesihatan antaranya kempen pencegahan denggi dan bahaya merokok serta pemeriksaan kesihatan percuma untuk rakyat jelata di beberapa lokasi terpilih. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment