My Add

Monday 23 June 2014

Terima 20 jahitan dibelasah sekumpulan lelaki

SHAH ALAM 22 Jun, 2014: Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cedera parah dibelasah sekumpulan lelaki selepas pemilihan semula PKR cabang Kuala Langat, semalam, terpaksa menerima lebih 20 jahitan di kepala akibat kecederaan tersebut.

Zainol Arif Jamaludin, 46, berkata, dia kesal dengan kejadian tersebut yang sepatutnya tidak berlaku.

Dia yang merupakan ahli PKR cabang Setiawangsa juga tidak mengenali kumpulan penyerang berkenaan selain tidak tahu motif mereka berbuat demikian.

"Keganasan yang berlaku adalah sesuatu di luar jangkaan dan sepatutnya perkara itu tidak berlaku. Biarpun tercedera, saya tetap tidak serik untuk hadir memberi sokongan di tempat pemilihan pada masa depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, pemilihan PKR Cabang Kuala Langat di Dewan Orang Ramai Taman Sri Putra, Banting menyaksikan pergaduhan dua kumpulan dipercayai penyokong calon ketua cabang dengan penyokong penyandang jawatan itu yang menarik diri daripada pencalonan sebelum ini.

Pergaduhan itu berlaku ketika proses pemilihan cabang berkenaan hampir ditutup pada pukul 7 malam.

Difahamkan, pergaduhan tercetus setelah salah satu pihak tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus.

Menceritakan detik cemas tersebut, Zainol Arif memberitahu, dia dibelasah hampir dua minit oleh kumpulan lelaki berkenaan.

"Hampir dua minit saya dibelasah dan tidak mampu berbuat apa-apa," ujarnya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Langat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment