My Add

Sunday 22 June 2014

Warga emas nekad bergadai nyawa

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
 
 * ANUAL Hassan menerima rawatan di ICU, Wad Teratai, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU, SABTU 21 Jun, 2014: Seorang warga emas nekad mempertaruhkan nyawanya dengan mengangkat sebuah tong gas yang sedang terbakar demi untuk menyelamatkan ahli keluarganya dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Paloh, di sini semalam.

Dalam kejadian itu, Anual Hassan, 64, melecur pada bahagian muka, dada, perut serta kedua-dua belah tangan.

Mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan memerlukan alat bantu pernafasan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa dikatakan berada di dapur untuk memasak air tetapi disebabkan kehabisan gas, dia menukar tong baharu.

Isteri mangsa, Faridah Jusoh, 59, berkata, ketika kejadian, suaminya itu hanya bersendirian di dapur dan dia langsung tidak tahu bagaimana api boleh keluar daripada tong gas tersebut.

"Ketika sedang berehat di ruang tamu, saya dikejutkan dengan jeritan anak bongsu kami yang memberitahu tentang tong gas terbakar.

"Kemudian, saya terus berlari ke dapur dan melihat suami sedang berusaha memadamkan api dengan menggunakan baju dan juga alas kaki namun tidak berjaya.

"Dia kemudian menolak tong gas yang sedang terbakar itu dengan kaki dan mengangkat keluar dari rumah," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Faridah memberitahu, selepas tong gas terbabit dibawa keluar, api menjadi lebih marak membakar rumahnya sehingga melepasi bumbung dan dapat dilihat oleh jiran mereka.

Katanya, disebabkan cemas, dia terlupa menyelamatkan anaknya, Hasnani, 40, yang cacat penglihatan sehinggalah wanita itu bertindak nekad terjun dari tingkat dua rumah setinggi 4.5 meter terbabit.

"Kami hanya menyedari tentang Hasnani apabila mendengar bunyi sesuatu yang terjatuh di tanah. Dek kerana berasa cemas, dia nekad untuk terjun dari beranda hadapan di tingkat atas.

"Mujurlah, hanya kaki kanan dia yang terseliuh dan tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Mohd. Nasir Mamat ketika dihubungi memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.58 malam dan sebuah jentera bersama lima anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Apabila bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.08 malam, api sudah berjaya dipadamkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment