My Add

Monday 23 June 2014

2 beradik mengaku salah pukul jurugambar Utusan

KOTA BHARU, AHAD 22 Jun, 2014: Dua beradik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membelasah jurugambar Utusan Malaysia di pekarangan mahkamah pada 18 Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Abd. Jalil, 46, dan Zulkefle Nor, 53, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohd Isa Mohamad selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua beradik itu secara bersama telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada jurugambar Utusan Malaysia, Irwan Majid, 31, di kawasan Kompleks Mahkamah pada pukul 10.30 pagi, 18 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 32 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Ghazali dan mahkamah menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan fakta kes dan juga hukuman.

Mahkamah juga menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang dan tertuduh membayar jaminan.

Baru-baru ini jurugambar Utusan Malaysia mengalami kecederaan di kepala dan tangan kiri selepas ditumbuk bertalu-talu sebelum dipijak di kepala oleh dua lelaki dipercayai ahli keluarga seorang wanita yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah jenis heroin.

Kameranya yang dianggarkan bernilai RM18,000 turut mengalami kerosakan selepas dihempas oleh salah seorang suspek ketika kejadian terbabit.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, dia bersama dua lagi rakan pemberita sedang merakam gambar tertuduh yang diiringi keluar dari mahkamah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment