My Add

Monday 23 June 2014

LPT laluan pantas penyeludupan orang

 * ZAKARIA Ahmad menunjukkan but kereta Honda Accord yang memuatkan empat warga Myanmar yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 16 Jun lalu di Temerloh, semalam.
TEMERLOH, AHAD 22 Jun, 2014: Kemalangan mengorbankan empat warga Myanmar yang diseludup masuk ke negara ini pada 16 Jun lalu dipercayai didalangi oleh sindiket terancang yang menjadikan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sebagai laluan pantas penyeludupan dari sempadan negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, berdasarkan siasatan, jumlah warga Myanmar yang diseludup pada masa kejadian oleh sindiket terbabit adalah lebih ramai.

"Difahamkan pada pagi itu, bukan 10 mangsa yang diseludup masuk malah lebih daripada itu menggunakan kenderaan. Bagaimanapun kita tidak boleh memberi pendedahan lanjut.

"Jadi pada masa ini, kita masih menyiasat kumpulan yang terlepas dengan kerjasama Bukit Aman dan pelbagai agensi lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Annuar Othman.

Pada 16 Jun lalu, empat lelaki maut manakala tujuh lagi parah selepas kereta Honda Accord yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 134.1, LPT dekat sini, kira-kira pukul 4.15 pagi.

Zakaria memberitahu, pada masa ini pihak polis menahan reman pemandu kereta berkenaan dan enam lagi mangsa selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, pemandu kereta berusia 29 tahun yang berasal dari Kelantan itu ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 manakala kesemua enam warga Myanmar berusia 18 hingga 30 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri tersebut ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Menurut Zakaria, kesemua 10 warganegara Myanmar yang berasal dari Yangoon itu didapati masuk secara haram dengan menggunakan khidmat ejen atau sindiket tertentu melalui jalan sungai di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang, Kelantan.

Ujarnya, sebaik sahaja sampai di sempadan negara, kesemua mereka dimuatkan di dalam sebuah kereta yang telah diubah suai dengan empat orang ditempatkan di dalam but manakala selebihnya di tempat duduk penumpang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment