My Add

Monday 23 June 2014

PKMMJ minta kerajaan negeri pantau Iskandar

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

JOHOR BAHRU, AHAD 22 Jun, 2014: Pembangunan yang berlaku di negeri Johor perlu diselaraskan dengan bijak supaya bukan sahaja kontraktor bumiputera malah kontraktor tempatan secara keseluruhan tidak terjejas akibat kehadiran pelabur luar negara.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ), Ir. Mahmood Amir berkata, antara kesan langsung yang dirasai oleh kontraktor tempatan adalah kesukaran mendapatkan pekerja dan peningkatan harga bahan binaan.

"Oleh kerana pembangunan sekarang banyak dibangunkan pihak swasta maka ramai kontraktor tempatan berdepan masalah. Pelabur asing datang membawa 'tsunami duit' dan kerajaan mahukan pembangunan dilakukan.

"Perkara ini tiada penyelesaian kerana zaman kontraktor mendapat peluang daripada kerajaan sudah habis dan ini adalah fakta. Situasi ini perlu diambil perhatian pihak atasan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pembangunan di Iskandar Malaysia, kata Mahmood, kebanyakan binaan prasarananya sudah siap atau hampir siap kecuali pembangunan oleh pihak swasta dan dari luar negara malah terdapat kontraktor yang disifatkan sebagai terbaik di negeri ini hanya diberikan tender membuat longkang.

Menurutnya, antara punca lain ketiadaan peluang melibatkan diri dalam pembangunan Iskandar Malaysia adalah ketidakupayaan kontraktor bumiputera atau tempatan untuk melaksanakan projek yang bernilai tinggi seperti yang sedang berlaku di negeri ini.

Bahkan, menurut beliau, Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid) yang telah ditetapkan syarat agar 25 peratus pembangunannya melibatkan kontraktor bumiputera turut berdepan masalah yang sama.

Tambah Mahmood, pembinaan adalah 'industri matahari terbenam' bagi kontraktor bumiputera namun bagi golongan bukan bumiputera mereka masih mampu untuk terus beroperasi.

"Kadar kontraktor kepada penduduk juga tinggi di Malaysia jika dibandingkan dengan negara lain, jadi ia juga adalah satu daripada faktor," katanya.

Beliau mengulas pandangan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berkenaan pendominasian pelabur asing di negeri Johor.

China Daily sebelum ini melaporkan mengenai penglibatan lima firma pemaju China di zon ekonomi utama Iskandar manakala pemaju keenam, Macrolink Real Estate merancang untuk membangunkan sebuah resort percutian di situ. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment