My Add

Monday 23 June 2014

45 peratus surat layang - SPRM

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

 * NASIR Safar (tengah), Mustafar Ali (kanan) dan Abdul Latiff Abu Bakar bertindak sebagai ahli panel Seminar Pengukuhan Integriti NGO Kelab Veteran MAYC Malaysia di Auditorium Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH
KUALA LUMPUR, AHAD 22 Jun, 2014: Kira-kira 45 peratus daripada 10,000 hingga 12,000 maklumat berkaitan aduan rasuah yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap tahun diperoleh melalui surat layang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, bagaimanapun hanya beberapa peratus maklumat berkenaan didapati benar dan berpotensi untuk disiasat ke peringkat seterusnya.

Katanya, SPRM tidak akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang dituduh tetapi akan menapis dan menyiasat maklumat tersebut dengan terperinci.

"Kebanyakan maklumat yang kita terima daripada surat layang hanya menggambarkan individu secara umum dan sukar untuk kita kesan atau siasat, oleh sebab itu, hanya jumlah yang kecil maklumat daripada surat layang yang boleh digunakan.

"Selain itu, maklumat yang kita terima itu juga perlu ada asas dan boleh disabitkan dengan rasuah kerana banyak maklumat yang kita terima tidak boleh diproses kerana tiada unsur rasuah walaupun ada asas dan begitulah sebaliknya," katanya ketika berucap pada Seminar Pengukuhan Integriti Pertubuhan Bukan Kerajaan di Institut Integriti Malaysia (IIM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar; ahli IIM, Datuk Aidit Ghazali dan Presiden Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Datuk Nasir Safar.

Dalam pada itu, Mustafar meminta orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat menggunakan saluran yang disediakan dengan memberi maklumat lengkap bagi membolehkan SPRM meneruskan siasatan.

Katanya, orang ramai tidak perlu takut untuk melaporkan terus kepada pejabat SPRM kerana mereka dilindungi Akta Pemberi Maklumat dan menjadi saksi jika kes disabitkan ke mahkamah.

"Kita bukan menolak maklumat daripada surat layang tetapi cara itu bukan satu kaedah yang baik untuk melaporkan sesuatu kes kerana boleh jadi maklumat surat layang itu tidak benar sehingga akan menjejaskan nama individu tertentu.

"Kita mahu maklumat yang berkualiti agar mudah untuk kita siasat perkara ini dengan lebih lanjut," jelasnya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, satu memorandum persefahaman di antara IIM dengan Kelab Veteran MAYC Malaysia (KVMM) dimeterai bertujuan membantu dalam pelaksanaan Pelan Integriti Nasional di peringkat akar umbi yang turut disaksikan oleh Penasihat MAYC, Tan Sri Sanusi Junid. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment