My Add

Monday, 23 June 2014

Sultan Ibrahim terus dekati rakyat hari kedua KMJ

 * SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menunggang motosikal sempena Program Kembara Mahkota Johor 2014 di Felda Medoi, Segamat, Johor, semalam. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
MERSING, AHAD 22 Jun, 2014: Hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 dimulakan dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menunjukkan kemampuan membuat pukulan golf pada majlis pelepasan di Dataran Pantai Sri Mersing, di sini hari ini.

Tuanku Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Shah Sultan Ibrahim turut mengiringi baginda ke pameran kesihatan, khemah penyampaian bantuan, menyaksikan gimik rondaan bot, pertandingan tarik tali dan pertunjukan jet ski.

Dalam sembah ucapannya, Pegawai Daerah Mersing, Mohd. Nasir Abd. Salam berkata, keberangkatan tiba baginda bersama rombongan KMJ 2014 ke daerah Mersing melambangkan betapa eratnya hubungan institusi diraja dengan rakyat jelata.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 masing-masing kepada daerah Mersing dan Persatuan Pemandu Kereta Sewa Daerah Mersing sebelum mengetuai KMJ 2014 ke destinasi kedua iaitu Dataran Kahang, Kluang untuk bertemu 200 pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau.

Keberangkatan tiba baginda dan rombongan kerabat diraja disambut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum melawat khemah pameran kesihatan Hospital Pakar Kluang Utama dan pameran makanan sihat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang.

Di khemah pameran herba Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Sultan Ibrahim menjamah sedikit kepingan tongkat ali dan meminum segelas kecil teh hijau campuran madu di pameran Jabatan Pertanian Daerah Kluang sebelum melawat pameran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Sultan Johor dan kerabat diraja disajikan dengan persembahan oleh Malaysia Skyrunner Malaysia pada majlis santapan diraja sebelum bersama rombongan KMJ 2014 berangkat ke Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom dekat sini.

Setibanya di hospital tersebut, Tuanku Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli melawat 18 penghuni wad sakit bersalin sambil menyerahkan bungkusan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor sementara Sultan Ibrahim melawat pameran Pejabat Hutan, Pejabat Pertanian, pameran rawatan tradisional, kempen makanan kesihatan, Kastam Diraja Malaysia dan Kumpulan Perubatan Johor.

KMJ 2014 kemudiannya diteruskan ke Sekolah Kebangsaan LKTP Medoi, Segamat dengan murid-murid sekolah berkenaan mempamerkan kehebatan memanah.

Sejurus selepas itu, baginda menaiki motosikal di sekitar kawasan Felda Medoi dan turut berkesempatan melawat pengusaha industri kecil sederhana, Tarmimi Tamplong, 63, dan seorang warga emas Abdullah Hassan, 76, sebelum berangkat ke Padang SK LKTP Felda Medoi bagi mengakhiri perjalanan kembara hari kedua. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment