My Add

Monday 2 June 2014

46 pelajar terima geran akademik 1MDB-Jakim

KUALA LUMPUR, ISNIN 02 Jun, 2014; Empat puluh enam pelajar cemerlang sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR) hari ini menerima surat tawaran geran akademik 1Malaysia Development Berhad - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (1MDB-Jakim) bernilai RM5 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, 17 penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terpilih di Mesir dan Jordan khususnya dalam bidang perubatan dengan seorang menerima RM25,000 setahun.

"Seramai 29 orang lagi akan menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dengan menerima RM7,500 seorang setahun. Bantuan ini diberikan 1MDB melalui Jakim untuk membiayai pelajar-pelajar lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang kurang kemampuan dari sudut kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Kecemerlangan Pelajar Ujian Penilaian Kelas Fardu Ain (Kafa) dan Penyerahan Surat Tawaran Geran Tahunan 1MDB-Jakim di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi dekat sini hari ini.

Kumpulan pelajar itu merupakan kumpulan keempat yang memperoleh manfaat daripada geran akademik itu yang bertujuan melahirkan profesional dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, farmasi dan kewangan Islam daripada kalangan pelajar cemerlang SMAN/SMAR.

Sejumlah 159 pelajar telah mendapat manfaat daripada geran akademik berkenaan sejak diperkenalkan pada 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment