My Add

Sunday 22 June 2014

Tali barut kena ingat dosa pahala - Shafie Apdal

   * MOHD. Shafie Apdal diiringi Mohammad Mentek (depan, empat dari kanan) bersalaman bersama orang ramai yang menghadiri majlis Semarak Bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Semporna, Sabah, semalam. - MINGGUAN/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN
SEMPORNA, sabtu 21 Jun, 2014: Penduduk tempatan yang menjadi tali barut kepada jenayah rentas sempadan terutama penculikan diingatkan supaya jangan terlalu memikirkan habuan duniawi semata-mata tetapi perlu sedar bahawa segala perbuatan khianat mereka itu akan diperhitungkan di akhirat kelak.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang begitu kecewa dengan sikap segelintir penduduk yang sanggup menggadai maruah untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada penjenayah itu menegaskan bahawa ajaran Islam tidak pernah walau sekalipun mengajar supaya melakukan pengkhianatan.

"Jangan anggap tindakan memberi maklumat mengenai pasukan keselamatan kepada penjenayah adalah perkara kecil, impak daripadanya amat besar iaitu boleh menyebabkan mangsa culik itu terbunuh, isterinya menjadi janda, anak-anak menjadi yatim piatu, malah lebih teruk lagi kedaulatan negara juga bakal terjejas akibat perbuatan mereka.

"Jika mangsa terbunuh, telah jadi dosa besar, begitu juga kesalahan lain juga berdosa kerana bersubahat. Pelbagai kaedah telah dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini (jenayah rentas sempadan) tetapi kejadian ini semakin berleluasa. Saya berpendapat pendekatan agama merupakan antara kaedah terbaik," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian semasa merasmikan Program Semarak Bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek.

Sementara itu, Mohammad dalam ucapan aluannya turut mengakui terdapat isu integriti dalam kalangan pasukan keselamatan sendiri hingga menyebabkan penjenayah rentas sempadan mudah meloloskan diri.

"Kami memang ada terima aduan bahawa terdapat anggota yang menerima suapan tetapi sehingga kini belum ada tangkapan atau laporan rasmi atau bukti kukuh. Kepada orang ramai, jangan takut untuk tampil memberikan maklumat.

"Ketua-ketua jabatan Esscom juga perlu selalu turun padang melihat sendiri ‘keberadaan’ anak-anak buah di kawasan yang ditugaskan. Bukan saya tidak percaya tetapi memang ada aduan daripada orang ramai bahawa berlaku ketirisan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment