My Add

Monday 23 June 2014

Acara menumbuk emping terbesar penutup pekan budaya Budaya Hulu Terengganu

 * MOHAMED Nazri Abdul Aziz (tengah) bersama penduduk kampung menumbuk emping bersempena Eco-Fest di Hulu Terengganu, kelmarin.
HULU TERENGGANU, AHAD 22 Jun, 2014: Dengan penglibatan 750 penduduk setempat silih berganti menumbuk padi muda menggunakan 150 lesung kayu, upacara penutup Pekan Budaya Hulu Terengganu yang berakhir semalam mencatat sejarah tersendiri.

Acara 'mengemping' untuk menghasilkan semula bahan sajian makanan ringkas yang memeriahkan suasana itu merupakan yang terbesar pernah diadakan dalam program bercorak pesta bagi mengetengahkan semula amalan tradisi masyarakat silam.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara penutup Pekan Budaya Hulu Terengganu itu berkata, acara tersebut yang mencerminkan keunikan budaya harus diteruskan dan disuburkan.

Pekan Budaya Hulu Terengganu berlangsung selama 10 hari serentak dengan program Kuala Berang Eco-Fest serta Festival Batu Bersurat yang menyediakan pelbagai acara termasuk pertandingan sukan lasak, persembahan kesenian dan kegiatan-kegiatan keilmuan.

Sementara itu, salah seorang peserta, Esah Embong, 63, dari Kampung Lubuk Batu berkata, emping lazimnya dijadikan juadah sarapan dan minum petang dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Saya mula menghasilkan emping sejak muda lagi untuk dijadikan juadah ringan buat keluarga. Cara membuatnya cukup mudah, kita hanya memerlukan padi yang sudah digoreng kemudian ditumbuk dan seterusnya ditampi.

"Kemudian beras yang menjadi kepingan itu digaul dengan kelapa parut, sedikit garam dan gula pasir atau gula Melaka yang dipotong halus sebelum dihidangkan," katanya.

Beliau berkata, emping itu juga boleh dijadikan sajian berkuah dengan menggunakan telur, santan dan manisan.- UTUSAN 

No comments:

Post a Comment