My Add

Monday 23 June 2014

Kempen Pemilu semakin panas
JAKARTA. AHAD 22 Jun, 2014; Pemilihan jawatan Presiden Indonesia semakin rancak sehingga memaksa pihak polis campur tangan dalam kempen yang membabitkan penyokong Gabenor Jakarta, Joko Widodo atau Jokowi dan bekas Jeneral, Prabowo Subianto.

Keadaan itu tercetus apabila penyokong Jokowi meminta polis menahan penerbit tabloid, Obor Rakyat yang menyiarkan satu laporan palsu mengenai Gabenor dari Solo itu, yang didakwa berasal daripada keturunan etnik Cina Kristian.

Jurucakap polis Indonesia berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat laporan akhbar itu, yang diterbitkan untuk sekolah pesantren dan masjid sekitar Jawa.

Jokowi terpaksa mempertahankan diri terhadap serangan-serangan yang kebanyakannya tertumpu terhadap keturunan dan agamanya, isu penting di negara yang 90 peratus penduduknya beragama Islam.

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan sokongan terhadap Jokowi yang sebelum ini jauh mendahului pencabarnya, Prabowo Subianto, kini semakin menurun dengan hanya kelebihan satu digit sahaja.

"Penduduk di kawasan pedalaman, rakyat berpendapatan sederhana serta rendah dan golongan berpendidikan mempercayai kempen berniat jahat ini. Keadaan ini menyebabkan sokongan terhadap Jokowi turun mendadak,'' kata Pengarah Eksekutif syarikat Indonesia Political Indicator yang menjalankan tinjauan pendapat, Burhanuddin Muhtadi.

Pada masa sama, penyokong Jokowi turut dilapor melancarkan kempen negatif terhadap Prabowo.

Seorang penyokong Jokowi dan bekas jurucakap bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid, Wimar Witoelar pada minggu lepas meminta maaf kerana menyiarkan gambar pasukan kempen Prabowo bersama ketua kumpulan pengganas, Osama bin Laden dan anggota militan lain, di akaun Twitter dan Facebooknya.

Kesihatan mental Prabowo turut dipersoalkan, selain beliau didakwa seorang warganegara Jordan, menurut laporan Jakarta Post.

Bagaimanapun, serangan peribadi ke atas Prabowo lebih menjurus kepada rekod hak asasinya ketika beliau menjawat jawatan Jeneral tentera terutama ketika pemberontakan yang menggulingkan bekas bapa mertuanya yang merupakan Presiden Indonesia, Suharto pada 1998.

Seorang jurucakap agensi tinjauan pendapat, Muhtadi berkata, serangan peribadi ke atas hak asasi Prabowo tidak memberi kesan seperti yang dialami oleh Jokowi, ekoran sejarah bekas Jeneral itu telah diketahui umum. - REUTERS/utusan 

No comments:

Post a Comment