My Add

Sunday 1 June 2014

Ah Seng beli ais kepal RM80,000

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

 * FNG Ah Seng menunjukkan semangkuk ais kepal bernilai RM80,000 yang dibelinya pada Karnival Amal Hari Penyayang anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, semalam. - MINGGUAN/Ismail Kamadin
ALOR SETAR, SABTU 31 Mei, 2014: Tiada bezanya dengan ais kepal di gerai-gerai biasa, ais kepal disediakan sukarelawan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di Karnival Amal Hari Penyayang yang berlangsung selama dua hari di sini juga tidaklah kelihatan mewah seperti disaluti emas atau permata.

Namun atas nama kebajikan, seorang dermawan, Tan Sri Dr. Fng Ah Seng tidak lokek untuk berbelanja sebanyak RM80,000 bagi membeli semangkuk ais kepal itu yang mana hasil jualannya akan dimasukkan ke tabung yayasan berkenaan.

Menurut Ah Seng yang juga Pengerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng, perkara itu menjadi kelazimannya setiap kali beliau menghadiri karnival tersebut sejak 2010.

“Mulanya pada 2010, saya membeli ais kepal ini hanya dengan harga RM10,000 semangkuk sebelum menaikkan jumlahnya kepada RM50,000 pada 2012 dan 2013.

“Tetapi tahun ini, setelah melihat banyak aktiviti kebajikan dilakukan YSB, saya tergerak untuk meningkatkan lagi jumlahnya kepada RM80,000 agar lebih ramai golongan memerlukan dapat menerima faedah daripada aktiviti dijalankan," katanya ketika ditemui pemberita pada Acara Sambutan Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah ke karnival berkenaan di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Yang turut berangkat ke majlis tersebut adalah Tunku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani serta Tunku Panglima Besar, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim yang juga merupakan Pengerusi YSB.

Selain semangkuk ais kepal itu, Ah Seng turut memenangi bidaan mendapatkan potret Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Tuanku Hajah Haminah dengan harga RM60,000 berserta sebuah lukisan cat minyak tertera gambar 12 ekor kuda bertajuk Horses of Success dalam lelongan amal yang diadakan bagi mendapatkan dana untuk tabung YSB.

Sementara itu, lelongan amal tersebut yang dikendalikan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sultanah Bahiyah, Datuk Nasir Mustafa bersama anggota kumpulan Senario, Lan Pet Pet berjaya mengumpul dana berjumlah RM755,000 hasil lelongan 20 barangan termasuk potret Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri serta cincin bertatah nilam yang merupakan koleksi peribadi Tunku Intan safinaz.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berserta Tuanku Hajah Haminah turut berkenan membida beberapa barangan termasuk keris panjang Patani lok 105, lukisan cat minyak bertajuk Horses of Glory, seni gubahan bunga di atas besi serta beberapa keping lukisan kanak-kanak yang menghadiri karnival tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment