My Add

Sunday 1 June 2014

Hanya 2.5% rakyat tampil derma darah

PULAU PINANG, SABTU 31 Mei , 2014:Kesedaran tentang kepentingan menderma darah masih rendah dalam kalangan rakyat negara ini berbanding rakyat di negara Barat dan di rantau Asia Tenggara lain.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, setakat ini hanya 2.5 peratus daripada populasi rakyat negara ini tampil menderma darah.

Katanya, jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan negara-negara Barat dan rantau Asia Tenggara lain yang mencapai jumlah penderma antara lima hingga 10 peratus penderma darah dalam kalangan rakyat sendiri.

“Usaha meningkatkan kesedaran rakyat untuk menderma darah ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan bekalan darah mencukupi terutamanya pada bulan Ramadan nanti.

“Kita harap rakyat negara ini akan terbuka untuk menderma darah khususnya golongan wanita dan remaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah dan mini karnival anjuran Stesen Shell Jalan Perak yang diusahakan oleh MS Masha Enterprise di sini hari ini.

Tambah Hilmi, dalam usaha menarik lebih ramai penderma darah, kementerian sedang mengkaji untuk membenarkan mereka yang berusia antara 60 hingga 65 tahun tampil sebagai penderma selepas ini.

“Ketika ini hanya mereka berusia 18 hingga 60 tahun sahaja dibenarkan menjadi penderma dan sekiranya kajian ini menunjukkan perkembangan positif, had usia untuk menjadi penderma mungkin dinaikkan kepada 65 tahun," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment