My Add

Sunday 1 June 2014

Asap tebal Sangeang jejas penerbangan

 * GUNUNG berapi Sangeang Api di kepulauan Sangang, Indonesia meletus dan mengeluarkan asap tebal sehingga menyebabkan penerbangan di Australia terjejas. - AGENSI
SYDNEY, SABTU 31 Mei, 2014: Gunung berapi Sangeang Api di kepulauan Sangeang, Indonesia yang meletus dan mengeluarkan asap tebal sejak semalam mengakibatkan penerbangan keluar masuk dari bandar Darwin, di sini dibatalkan hari ini.

Laman web, Mail Online melaporkan, asap tebal daripada gunung berapi Sangeang itu yang bergerak dari selatan Indonesia ke arah Australia, menyebabkan syarikat penerbangan Qantas, Jetstar dan Virgin Australia membuat keputusan membatalkan penerbangan ke Darwin.

Menurut wakil Biro Meteorologi Pusat Penasihat Abu Gunung Berapi, Tim Birch, gunung berapi berkenaan masih mengeluarkan asap sehingga menjejaskan kawasan utara Australia terutama di Darwin dan keadaan itu dijangka akan berterusan selama 18 jam.

Asap tebal turut melanda bahagian tengah Australia dan beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan di lapangan terbang Denpasar di Bali, Indonesia semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Warren Truss berkata, perkhidmatan penerbangan di Australia mungkin kembali normal dalam masa beberapa hari.

“Bergantung kepada angin dan keadaan cuaca, abu letusan gunung berapi itu mampu menjejaskan penerbangan keluar masuk di lapangan terbang, termasuk di Brisbane.

“Hal ini sedang dipantau secara menyeluruh," kata beliau.

Sementara itu, perkhidmatan kawalan trafik udara, Airservices Australia telah mula mengarahkan penukaran laluan penerbangan antarabangsa di kawasan terjejas.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa penerbangan Australia mengesyorkan supaya pesawat tidak melalui asap tebal gunung berapi kerana ditakuti habuk abu gunung berapi itu boleh mengganggu enjin pesawat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment