My Add

Sunday 1 June 2014

Penunjuk perasaan antirampasan kuasa terus berdemonstrasi

 * PENUNJUK perasaan antirampasan kuasa memegang sepanduk di hadapan tentera Thailand semasa mereka mengambil bahagian dalam demonstrasi di Monumen Kejayaan di Bangkok pada 26 Mei lalu. - AFP
BANGKOK, SABTU 31 Mei, 2014: Pentadbiran kerajaan junta Thailand pimpinan, Jeneral Payuth Chan-ocha diuji, apabila penunjuk perasaan antirampasan kuasa akan terus mengadakan demonstrasi bermula hari ini ketika beliau menyatakan pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam tempoh lebih setahun.

Askar-askar telah dikerahkan ke lokasi-lokasi utama demonstrasi sejak beberapa hari lalu termasuk Monumen Kejayaan di sini bagi menghalang penunjuk perasaan berkumpul walaupun tiada keganasan dilaporkan setakat ini.

Menurut aktivis antirampasan kuasa, mereka akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada hujung minggu ini di seluruh negara ini sebagai tanda bantahan mereka terhadap tindakan tentera dan mahu proses demokrasi di Thailand dikembalikan.

Prayuth dalam ucapannya kepada rakyat yang disiarkan di stesen televisyen Thailand malam tadi berkata, tempoh lebih setahun diperlukan tentera bagi membina pembaharuan di negara ini.

“Ini adalah kerana, pelan pembaharuan hanya boleh dilaksanakan sekiranya terdapat kestabilan dan keamanan yang mungkin mengambil masa selama setahun dan kemudian barulah pilihan raya boleh diadakan.

“Kesemua yang saya gariskan ini tidak akan berjaya sekiranya semua pihak tidak menghentikan demonstrasi secara politik. Proses ini akan mengambil masa selama setahun bergantung kepada keadaan,’’ katanya.

Prayuth pada masa sama turut menjelaskan tindakan dan langkah selepas rampasan kuasa itu yang antara lain menyaksikan seramai 250 orang ditahan, penapisan media dan larangan perhimpunan dan kebanyakan mereka telah dibebaskan.

“Kita tidak boleh berterusan bertelagah antara satu sama lain hanya kerana kita berfikir secara berbeza. Setiap pihak perlu mencari jalan untuk bekerjasama,’’ katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Amerika Syarikat (AS) menolak pelan pembaharuan Thailand dan menggesa supaya pilihan raya awal diadakan tanpa menunggu tempoh setahun.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki berkata, Washington percaya kaedah terbaik dalam krisis di Thailand adalah dengan meletakkan satu tempoh masa bagi pilihan raya umum dan memudahkan proses pilihan raya yang telus dan menyeluruh. - REUTERS/AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment