My Add

Sunday 1 June 2014

Penduduk Slavyansk lari selamat diri
KIEV, SABTU 31 Mei, 2014: Puluhan ribu orang awam di bandar timur Slavyansk, timur Ukraine bertindak melarikan diri ekoran spekulasi tentera Ukraine sedang bersiap sedia melancarkan serangan besar-besaran bagi memastikan wilayah itu bebas daripada kumpulan pemisah pro-Rusia.

Pelbagai kenderaan termasuk kereta dan bas mini membawa penduduk bandar itu yang ketakutan keluar dari kawasan tersebut, senario yang dapat dilihat sejak beberapa hari lalu selepas laporan yang mengatakan tentera sedang mengukuhkan kedudukan mereka di wilayah timur Ukraine tersebut.

“Mereka telah pergi sejak beberapa hari lalu, bas-bas yang meninggalkan bandar ini sarat membawa penumpang wanita dan kanak-kanak,'' kata seorang askar memeriksa kenderaan dan dokumen di pos pemeriksaan tentera Ukraine di bandar yang dihuni kira-kira 130,000 penduduk itu.

Portal berita Al Jazeera melaporkan, di dalam Slavyansk, sekatan jalan raya dibina daripada pokok-pokok yang ditebang dan timbunan tayar sehingga menyukarkan perjalanan.

Penduduk juga masih dapat dilihat mendapatkan keperluan mereka di kedai-kedai sebelum pukul 6 petang ekoran perintah berkurung yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, kebanyakan penduduk dilihat berada di stesen-stesen bas untuk meninggalkan bandar itu sejak pukul 6 pagi.

“Saya anggarkan puluhan ribu penduduk telah meninggalkan bandar ini. Semua rakan saya telah pergi dan saya sendiri menghantar dua anak perempuan saya untuk tinggal dengan nenek mereka di Kramatorsk pada minggu lepas,'' kata seorang penjual tiket bas, Elvira.

Dalam perkembangan berasingan, pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov yang disokong Kremlin menafikan etnik itu menghantar pejuang mereka ke Ukraine bagi menyokong kumpulan pemisah pro-Rusia.

Kadyrov yang berjuang memerangi tentera Rusia di wilayah Caucasus Utara pada sekitar 1990-an berkata, beliau melihat beberapa gambar anggota kumpulan pemisah yang terbunuh.

“Kami tidak menghantar mereka, Mereka sama sekali bukan anggota kami,'' katanya dalam satu temubual dengan stesen televisyen Rusia, hari ini. - AGENSI/REUTERS/UTUSAN

No comments:

Post a Comment