My Add

Sunday 1 June 2014

Dyana kecewa, Guan Eng akui undi Cina merosot

TELUK INTAN, SABTU 31 Mei, 2014: Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud kecewa atas kegagalannya mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan yang disandang parti itu.

Walau bagaimanapun, menurut Dyana Sofya perjuangan beliau masih belum selesai dan akan terus bersama rakyat di kawasan Parlimen itu.

"Saya kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kerusi Teluk Intan tetapi tetap akan berada di sini untuk rakyat dan berharap semua dapat bersama saya untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

"Kita hadapi kesemua jentera Barisan Nasional (BN) dan hanya tewas dengan lebih kurang 200 undi sahaja," katanya sambil menahan sebak ketika berucap di hadapan kira-kira 200 penyokong DAP di bilik gerakan parti itu, di sini hari ini.

Yang turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming.

Dyana Sofya memperoleh 19,919 undi, tewas kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong (20,157 undi) dengan majoriti 238 undi.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, DAP menerima kekalahan parti itu kepada Siew Keong buat masa ini.

Katanya, parti itu akan membuat analisis terlebih dahulu dan mengemukakan bantahan sekiranya mendapati wujud faktor yang meragukan.

"Kami ada banyak masa. Biar kami buat analisis terlebih dahulu sebelum mengemukakan apa-apa bantahan," katanya.

Selain itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengakui wujud penurunan pola pengundian kaum Cina terhadap parti itu.

Dakwanya, kemerosotan itu berlaku kerana ramai pengundi luar tidak pulang ke Teluk Intan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment